Misi ke Piala Dunia 2026 sukar

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Zainal Abidin
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Zainal Abidin
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara berdepan misi sukar untuk meraih tiket ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda pada Ogos tahun depan.

Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop melihat peluang tersebut amat tipis berdasarkan prestasi semasa skuad bimbingan Sarjit Singh itu, selain kualiti pemain yang dimiliki Speedy Tigers.

Malah beliau menyifatkan pasukan negara bukan sahaja belum mencapai standard dunia, malah masih berdepan saingan sukar dengan pasukan di benua Asia.

"Sukar, kecuali ada peningkatan mendadak dan muncul kelompok pemain-pemain muda yang berpotensi. Menerusi skuad sedia ada, maaf cakap, susah.

"Skuad negara juga sukar nak lepasi Korea Selatan, Jepun dan China. Pasukan-pasukan ini semakin meningkat (prestasi).

"Buat masa ini dalam tempoh singkat kita tiada pilihan, guna sahaja pemain sedia ada, kecuali tiba-tiba muncul pemain yang berpotensi besar," katanya.

Sukan Sinar pada Isnin melaporkan Sarjit menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya Malaysia gagal layak ke Piala Dunia 2026.

Malaysia yang berada di kedudukan ke-12 dunia perlu muncul juara Piala Asia 2025 di Rajgir, India dari 27 Ogos hingga 7 September ini untuk layak ke Piala Dunia.

Andai gagal, Speedy Tigers masih berpeluang ke Piala Dunia menerusi pusingan kelayakan yang berlangsung pada akhir Februari hingga awal Mac 2026.

Artikel Berkaitan:

Zainal Abidin menjelaskan bahawa Malaysia perlu merangka projek jangka panjang untuk tempoh lima tahun bagi membentuk pasukan berkelas dunia.

"Kembali kepada asas untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dan didedahkan kepada pertandingan kompetitif," katanya.

Speedy Tigers menutup kempen Piala Negara-Negara yang berakhir Sabtu lalu di tempat keenam, meleset daripada sasaran berada dalam kelompok empat terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!