MMM yakin pertemuan Sinar Harian, KPN bawa penyelesaian konstruktif

SHAH ALAM – Satu sesi pertemuan bakal diadakan antara syarikat akhbar Sinar Harian dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang diyakini dapat membawa kepada penyelesaian konstruktif berhubung isu penyiaran maklumat infografik yang tidak tepat baru-baru ini.
Majlis Media Malaysia (MMM) menyatakan bahawa perkara yang lebih penting adalah usaha pihak media dalam menangani isu berkenaan dan memastikan kesilapan sama tidak berulang.
“Kesilapan, walaupun tidak diingini, boleh berlaku dalam mana-mana profesion. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kesilapan tersebut ditangani.
“Media, dalam hal ini, harus bertindak balas dengan ketelusan, rendah hati dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Sinar Harian menerusi portal beritanya telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka susulan kesilapan menerbitkan infografik yang mengaitkan penyertaan Mohd Khalid dalam parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut kenyataan tersebut, MMM turut menegaskan bahawa semua organisasi media perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan, termasuk memastikan ketepatan maklumat dan mematuhi etika kewartawanan.
“Bilik berita media juga perlu memiliki prosedur operasi yang kukuh sejajar dengan prinsip profesionalisme dalam bidang kewartawanan.
“Pematuhan terhadap prinsip ini amat penting dalam mengekalkan kepercayaan awam dan integriti profesion kewartawanan,” ujarnya.
MMM turut menyatakan kebimbangan terhadap pendekatan keras oleh pihak berkuasa dalam menangani isu kesilapan media seperti ini.
Menurutnya, pendekatan menghukum melalui undang-undang yang menindas hanya akan melemahkan kebebasan media di negara ini.
“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik, bukan melalui intimidasi atau penindasan.
“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk melapor secara tepat dan beretika, adalah penting juga agar sebarang kesilapan ditangani secara membina dan dalam kerangka yang sewajarnya.
“Dalam kes ini, dilaporkan bahawa Sinar Harian telah memohon maaf dan memohon untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara dan beliau (Mohd Khalid) telah bersetuju untuk hadir dalam pertemuan tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

