Jenazah isteri Premier Sarawak selamat dikebumikan

Wan Junaidi bersama Abang Johari dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Jamek Negeri pada Isnin. Foto Bernama
Wan Junaidi bersama Abang Johari dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Jamek Negeri pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Jenazah Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya di sini pada 1.52 tengah hari Isnin.

Terdahulu, jenazah Juma’ani disolatkan di Masjid Jamek Negeri dipimpin Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan dihadiri ahli keluarga, pemimpin negeir dan persekutuan serta orang ramai.

Sejurus selesai disolatkan, jenazah Juma’ani dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini untuk dikebumikan.

Turut mengiringi jenazah, Abang Johari bersama dua anaknya, Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan, cucu serta ahli keluarga terdekat.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir di Masjid Jamek Negeri ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; ketiga-tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta barisan wakil rakyat Sarawak.

Juma'ani, 76, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta pada 3.34 pagi Isnin.

Allahyarham merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman.

Beliau dikenang sebagai seorang tokoh wanita yang berdedikasi, rendah hati dan banyak menyumbang dalam kerja kebajikan serta kemasyarakatan di Bumi Kenyalang. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!