Campur tangan AS beri isyarat perang terbuka di Asia Barat - Pakar

SHAH ALAM - Tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran memberi isyarat jelas tentang kemungkinan tercetusnya perang terbuka antara kedua-dua negara itu di Asia Barat.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata, serangan ke atas fasiliti nuklear atau sasaran strategik Iran merupakan satu bentuk ketegangan serius dalam konflik serantau.
Menurutnya, sebelum ini AS telah menyatakan sokongan ketenteraan dan diplomatik kepada Israel dalam konflik melibatkan Hamas dan Hezbullah, yang menimbulkan kemarahan Iran serta sekutu-sekutunya.
Jelasnya, serangan langsung ke atas Iran membawa konflik tersebut keluar dari perang proksi dan berpotensi menjerumuskan kedua-dua kuasa itu ke dalam konfrontasi secara terus.
“Isyarat ini juga perlu dilihat dalam konteks geopolitik Asia Barat yang rapuh. Iran mempunyai rangkaian sekutu seperti Hezbullah di Lubnan, Houthi di Yemen dan militan Syiah di Iraq serta Syria yang boleh diaktifkan sebagai tindak balas.
“Amerika pula mempunyai pangkalan dan kepentingan di rantau Teluk yang boleh menjadi sasaran serangan balas Iran. Ini meningkatkan risiko bahawa satu serangan akan mencetuskan tindak balas berantai yang sukar dikawal.
“Tambahan pula, serangan unilateral AS melemahkan kredibiliti sistem keselamatan kolektif antarabangsa, mengundang lebih banyak tindakan unilateral oleh kuasa besar lain dan mempercepatkan kejatuhan norma undang-undang antarabangsa,” katanya kepada Sinar Ahad.
Dalam pada itu, Mohd Yazid mengakui, serangan terbaru itu menimbulkan persoalan kepada dunia sama ada sedang menuju ke arah konflik besar di Timur Tengah atau masih mempunyai ruang diplomasi.
“Namun, setiap serangan seumpama ini semakin menutup ruang dialog dan meningkatkan risiko perang penuh yang akan membawa kesan buruk kepada kestabilan global,” ujarnya.
Mengulas penglibatan sekutu Iran, beliau berkata, Rusia sebelum ini telah memberi amaran tegas kepada AS agar tidak mencampuri konflik Iran-Israel.
Katanya, amaran itu bukan sekadar retorik diplomatik, tetapi mencerminkan kepentingan strategik Rusia di Asia Barat dan hasratnya untuk mengimbangi pengaruh AS di rantau tersebut.
“Rusia mempunyai hubungan erat dengan Iran dalam bidang ketenteraan, politik dan ekonomi termasuk kerjasama dalam sektor tenaga, pembangunan nuklear dan operasi ketenteraan di Syria.
“Jika AS terus menyerang Iran, ia boleh dianggap Rusia sebagai satu ancaman langsung kepada sekutunya dan juga kepada kestabilan geopolitik yang cuba dipertahankannya di rantau itu,” kata beliau.
Menurut Mohd Yazid, Rusia juga boleh menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menentang sebarang tindakan yang memihak kepada AS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!