[VIDEO] 24 individu termasuk rakyat Malaysia di Iran tiba di KLIA

A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 24 individu termasuk rakyat Malaysia yang berada di Iran selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad susulan konflik peperangan yang berlaku di negara berkenaan.

Kumpulan berkenaan tiba di KLIA pada jam 11.30 malam dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines melalui penerbangan MH781.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar berkata, daripada jumlah tersebut, 17 orang daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

"Selain 17 rakyat Malaysia, enam warganegara Iran yang merupakan tanggungan kepada warganegara Malaysia dan seorang warganegara Singapura.

"Kesemua mereka telah melepasi sempadan Iran–Turkmenistan pada semalam (21 Jun)

"Mereka kemudiannya menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647pada hari ini (22 Jun) dan transit di Bangkok, Thailand, sebelum menaiki Malaysia Airlines MH781 untuk pulang ke Malaysia," katanya.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar dalam sidang media di Balai Ketibaan, KLIA pada Ahad.
Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar dalam sidang media di Balai Ketibaan, KLIA pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Balai Ketibaan KLIA pada Ahad.

Sebelum ini, Kementerian Luar telah mengarahkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihak Wisma Putra telah menguruskan pengangkutan darat untuk semua rakyat Malaysia menuju ke Ashgabat, Turkmenistan.

Menurut Khairi, proses evakuasi berkenaan berjaya dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer (km) ke pintu sempadan Iran–Turkmenistan.

Ulas beliau, urusan penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke Malaysia turut dibantu oleh kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat serta Bangkok.

"Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Islam Iran, Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan, yang membolehkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

"Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia Madani," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!