Dakota Utara isytihar darurat selepas 3 maut dalam puting beliung

Tiga orang terbunuh dalam puting beliung yang melanda wilayah Upper Midwest Amerika Syarikat.
Tiga orang terbunuh dalam puting beliung yang melanda wilayah Upper Midwest Amerika Syarikat.
A
A
A

LOS ANGELES - Gabenor Dakota Utara, Kelly Armstrong mengisytiharkan darurat di seluruh negeri itu pada Sabtu selepas tiga orang terbunuh dalam puting beliung yang melanda wilayah Upper Midwest Amerika Syarikat, lapor Xinhua.

Syerif Cass County Jesse Jahner mengesahkan pada sidang media bahawa dua lelaki dan seorang wanita terbunuh pada Jumaat malam di dua lokasi berasingan di bandar Enderlin.

Pada kira-kira jam 11.40 malam waktu tempatan Jumaat (0740 GMT Sabtu), Pejabat Syerif Cass County telah dihantar ke kawasan luar bandar Enderlin berikutan laporan kerosakan puting beliung di sebuah kediaman.

Sebaik tiba di lokasi, Jabatan Bomba Enderlin memaklumkan bahawa pengejar ribut telah menemukan dua mayat akibat puting beliung itu, menurut Pejabat Syerif dalam catatan di Facebook.

"Sejurus selepas mengetahui perkara ini, Jabatan Bomba Enderlin telah dihantar ke lokasi lain dan menemukan mayat ketiga akibat puting beliung berkenaan,” menurut kenyataan itu, sambil menambah anggota syerif mendapati kerosakan teruk di kawasan itu dan mula menjalankan pemeriksaan kebajikan terhadap orang ramai bersama beberapa agensi lain.”

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS di Bismarck, Dakota Utara dalam catatan di Facebook pada Sabtu berkata, "beberapa ribut petir kuat melanda kawasan itu semalam hingga ke malam.”

"Kami turut berdukacita atas pemergian tiga penduduk Dakota Utara yang terkorban dalam kejadian puting beliung Jumaat lalu serta komuniti Enderlin yang terjejas teruk,” kata Gabenor Armstrong dalam catatan di X.

Gabenor itu berkata, beliau telah mengarahkan agensi negeri memberikan bantuan dalam usaha tindak balas serta pemulihan yang diperlukan. - Bernama/Xinhua

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!