Lelaki palsukan dokumen keluarga, waris hilang harta pusaka

PALEMBANG - Seorang lelaki di Palembang didakwa memalsukan dokumen keluarga milik bapa angkatnya sehingga menyebabkan waris sebenar mengalami kerugian sebanyak RM518,169.40.
Lelaki yang dikenali sebagai IR itu didakwa memasukkan namanya ke dalam dokumen berkenaan sebagai anak kandung selepas kematian lelaki berusia 56 tahun dikenali sebagai Tawe.
Wakil keluarga, Novel berkata, tindakan tersebut membolehkan lelaki berkenaan menguruskan sijil hartanah, urusan bank dan mengeluarkan simpanan haji milik arwah.
“Justeru, kami membuat laporan polis kerana dokumen terbabit digunakan untuk kepentingan peribadi, sedangkan Tawe tidak mempunyai anak atau isteri.
“Waris sebenar adalah adik-beradik kandungnya,” katanya selepas membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Menurut Novel, status anak angkat tidak memberi hak terhadap harta pusaka, apatah lagi sekiranya dokumen rasmi dipalsukan.
“Kami tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan atas kematian mangsa. Waris berhak tahu dan mempertahankan hak mereka,” ujarnya.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan laporan telah diterima dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!