EduCity hab pendidikan antarabangsa pertama di Asia

EduCity menyediakan ekosistem yang lengkap antaranya kemudahan tempat tinggal, kompleks sukan bertaraf antarabangsa, pusat rekreasi dan pelbagai kemudahan lain yang terkini. (Gambar kecil: Wan Ahmad Saifuddin)
EduCity menyediakan ekosistem yang lengkap antaranya kemudahan tempat tinggal, kompleks sukan bertaraf antarabangsa, pusat rekreasi dan pelbagai kemudahan lain yang terkini. (Gambar kecil: Wan Ahmad Saifuddin)
A
A
A

EDUCITY Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) berhasrat menarik lebih banyak pelaburan institusi pendidikan menerusi konsep ‘Plug & Play’ yang ditawarkan.

Ini menjadikan EduCity sebagai lokasi ideal untuk institusi pendidikan antarabangsa dan tempatan mengembangkan kehadiran mereka di Malaysia.

Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata, EduCity sebagai salah satu peneraju hub pendidikan tinggi di negara ini mempunyai objektif untuk memperkenalkan Malaysia sebagai pusat pendidikan cemerlang di dunia.

“Menerusi konsep ‘Plug & Play’, EduCity menawarkan bantuan kepakaran dan pengalaman untuk institusi pendidikan ini berkembang di Malaysia.

“EduCity berupaya menjadi ‘One Stop Center’ dan itulah nilai tambah yang kita tawarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, institusi pendidikan juga tidak perlu melabur untuk mewujudkan infrastruktur lain, malah di EduCity kesemua fasiliti itu telah disediakan.

“Di EduCity, kami menyediakan ekosistem yang lengkap antaranya kemudahan tempat tinggal yang dinamakan ‘EduCity Village’, kompleks sukan bertaraf antarabangsa dengan kolam renang bersaiz Olimpik, pusat rekreasi iaitu ‘EduCity Student Hub’ dan pelbagai kemudahan lain yang terkini,” katanya.

Tambah beliau lagi, tiada hab pendidikan di peringkat global yang menyamai EduCity dengan kemudahan kampus pelbagai universiti serta menempatkan sejumlah universiti terkemuka antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

EduCity kini mempunyai sembilan rakan pendidikan termasuk dua sekolah antarabangsa iaitu Newcastle University Medicine Malaysia (NuMed), University of Southampton Malaysia, University of Reading Malaysia, Netherlands Maritime Institute of Technology, Multimedia University (MMU), Raffles University, Marlborough College Malaysia, Raffles American School and Management Development Institute of Singapore.

Sehingga kini, terdapat lebih 4,000 pelajar yang sedang mengikuti pelbagai peringkat pengajian di EduCity dan hab pendidikan itu telah menghasilkan 4,000 lepasan siswazah.

Menerusi tagline EduCity, ‘Learn. Live. Lead.’ Wan Ahmad Saifuddin berkata, di EduCity, pengalaman adalah kunci utama yang mewujudkan pemimpin masa hadapan.

“Dalam keadaan normal, universiti memberikan perkhidmatan pendidikan tinggi kepada pelajar untuk mendapatkan ijazah semata-mata.

“Namun di EduCity, dengan belajar mereka mendapat ilmu pengetahuan serta pengalaman di kelas. EduCity juga meningkatkan pengalaman pelajar dan membentuk mereka menjadi pemimpin.

"Di mana pelajar menggunakan pengetahuan secara holistik dan kami menyediakan pengalaman sebenar untuk kehidupan di luar universiti. Pengalaman inilah yang membezakan EduCity,” katanya yang menyasarkan kemasukan pelajar dari Indonesia dan Timur Tengah.

Dalam pada itu, EduCity dalam perancangan untuk melancarkan semula jenama EduCity beserta tagline ‘Learn. Live. Lead’ pada Mac serta merancang untuk membuka institusi pendidikan sendiri yang membolehkannya menawarkan program ‘twinning’.

“EduCity juga melihat peluang menjalinkan ‘partnership’ dengan mengendalikan kursus di tempat lain antaranya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu,” ujarnya.