[VIDEO] Beri kerjasama penuh kepada Panglima TUDM baharu – Asghar Khan
ALOR SETAR – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menyeru seluruh warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) agar memberikan kerjasama penuh kepada penggantinya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris yang akan mengambil alih kepimpinan angkatan itu secara rasmi pada Khamis ini.
Menurut beliau, penyerahan tugas akan berlangsung dalam satu upacara rasmi yang melibatkan kenaikan pangkat dan pertukaran tampuk pemerintahan TUDM.
“Saya telah maklumkan kepada semua warga TUDM agar memberikan kerjasama penuh kepada Panglima Tentera Udara yang baharu,” katanya pada sidang akhbar di Kolej Tentera Udara (KTU), di sini, pada Sabtu.

Asghar Khan akan menyerahkan kepimpinan TUDM yang diterajui sejak 7 Mac 2022 kepada Timbalan Panglima Tentera Udara, Muhamad Norazlan.
Terdahulu, beliau menghadiri Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Siri 86/24 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24, yang menyaksikan seramai 26 pelatih menerima sayap penerbangan masing-masing.
Dalam pada itu, Panglima Tentera Udara Ke-20 itu berkata, Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55) yang sedang dilaksanakan akan terus menjadi panduan penting kepada hala tuju TUDM pada masa hadapan, khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan aset dan modal insan.

“Walaupun pelan ini perlu kekal fleksibel mengikut perubahan geostrategik global, teras utamanya ialah pembangunan modal insan.
"Kita perlu menghantar anggota dan pegawai mengikuti latihan awal, termasuk dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), supaya mereka bersedia apabila aset-aset moden memasuki perkhidmatan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa kesiapsiagaan dan kecekapan anggota dalam mengendalikan sistem serta platform baharu amat bergantung kepada disiplin dan kecekalan yang dibentuk sejak awal.
Pada upacara tersebut, lima pelatih menerima anugerah kecemerlangan iaitu Leftenan Muhammad Irfan Salmi – Piala Panglima TUDM (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku), Leftenan Abdul Rani Abdul Salim – Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Putar) dan Leftenan Asryl Haron – Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik).
Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) pula menjadi milik Leftenan Nik Zulhisam Nik Samsudin dan Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar) milik Leftenan Muhammad Ezzlan Nor Azam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

