[VIDEO] Sindiket LPG berselindung sebalik pusat timbang kelapa sawit tumpas
KLUANG – Berselindung di sebalik kegiatan pusat timbang kelapa sawit di Machap, satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi secara haram akhirnya tumpas selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan Op Gasak pada kira-kira jam 8 malam, Rabu itu dilakukan hasil risikan selama seminggu oleh anggota KPDN Johor dan Putrajaya.
Jelasnya, hasil pemeriksaan menemui 1,176 tong LPG bersubsidi berkapasiti 14 kilogram (kg) dalam keadaan berisi dan kosong, serta sebuah tangki lori gas yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan gas.
“Dari luar, premis ini seolah-olah beroperasi sebagai tempat timbang kelapa sawit seperti biasa.
"Namun, setelah diserbu, kami dapati terdapat stor di belakang yang dijadikan lokasi pemindahan gas dari tong bersubsidi ke tangki lori," katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Tambahnya, modus operandi sindiket ini dipercayai lebih licik berbanding sebelum ini kerana mereka tidak lagi memindahkan gas ke tong industri seperti 50kg, sebaliknya terus ke tangki lori untuk pengedaran skala besar.
“Kita percaya gas ini dipasarkan secara gelap atau mungkin digunakan sektor industri yang besar seperti kimia dan kilang.
"Jumlah gas yang disita dianggarkan sebanyak 4,000kg, manakala nilai keseluruhan rampasan melebihi RM200,000,” katanya.
Lilis Saslinda berkata, dua lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pekerja stor terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Ujarnya, siasatan juga akan diperluas bagi mengesan sumber LPG bersubsidi yang dibekalkan kepada premis itu serta rangkaian pengedaran haram yang terlibat.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda maksimum RM2 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!