Rokok seludup lebih RM12,000 ditemui dalam ladang kelapa sawit

GUA MUSANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menyembunyikan 10,520 batang rokok seludup selepas menyerbu sebuah pondok di ladang kelapa sawit di Paloh, di sini pada Ahad.
Dalam serbuan jam 11 malam menerusi Op Taring Wawasan, PGA turut menahan dua lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan di pondok tersebut menemukan 3,000 batang rokok putih dan 7,520 batang rokok kretek bernilai RM12,399.20.
"Rokok-rokok ini dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Hasil rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

