Perak sedia kawasan tambahan untuk pertanian setiap daerah

SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak menyediakan kawasan tambahan bagi tujuan pertanian di setiap daerah untuk memastikan jaminan bekalan makanan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, tanah-tanah tersebut disediakan bagi membolehkan pengusaha pertanian meluaskan tanaman mereka.
Menurutnya, bagi tujuan itu mereka boleh mengemukakan permohonan atau menyemak status tanah melalui Pejabat Daerah dan Tanah di kawasan masing-masing.
“Untuk mendapatkan tanah dan sebagainya, mereka boleh merujuk kepada pegawai daerah ataupun ketua penolong pegawai daerah di daerah masing-masing.
“Sebenarnya ada tanah-tanah yang telah kita sediakan untuk sekuriti makanan di setiap daerah dalam negeri Perak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) bagi Tahun 2025 di Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Tersusun Kledang Utama di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Sekuriti Makanan dan Operasi), Shahrizan Sudiman dan Pengarah FAMA Negeri Perak, Azleena Zainal Abidin.
Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri sangat menggalakkan usahawan tani di negeri ini memperluaskan lagi tanaman mereka dengan membantu dari segi pemilikan tanah sama ada secara pemberian Lesen Menduduki Sementara dan sebagainya.
Menurutnya, peluasan kawasan tanaman penting kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negeri tetapi turut membantu memenuhi keperluan makanan rakyat Perak.
Sementara itu, Shahrizan berkata, RPKP merupakan satu program di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang memberi fokus untuk membeli dan menjual hasil-hasil pertanian yang dikeluarkan oleh petani-petani di bawah seliaan rakan pemasar, bukan sahaja di pasaran tempatan malah di pasaran luar daripada kawasan pengeluaran.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 62 RPKP dengan 620 petani di bawah rakan pemasar di seluruh negara dan di Perak terdapat sebanyak empat RPKP yang aktif iaitu di Bagan Datuk, Teluk Intan serta Kuala Kangsar.
Jelasnya, melalui RPKP, FAMA menyasarkan peningkatan pendapatan bagi setiap peserta sebanyak 20 hingga 30 peratus untuk dicapai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!