Sungai Golok melimpah, penduduk waspada

Kawasan rumah penduduk di Tersang, Rantau Panjang (foto kiri) dan di Kampung Bukit Tandak dinaiki air selepas hujan. Foto dari kiri: Suriani, Sabri.
Kawasan rumah penduduk di Tersang, Rantau Panjang (foto kiri) dan di Kampung Bukit Tandak dinaiki air selepas hujan. Foto dari kiri: Suriani, Sabri.
A
A
A

RANTAU PANJANG – Penduduk sekitar Rantau Panjang mula berwaspada selepas paras air Sungai Golok menunjukkan peningkatan susulan hujan lebat berterusan selama dua hari sejak Ahad lalu.

Peniaga, Suriani Daud, 47, berkata, keadaan hujan yang bermula selepas Subuh pada Ahad itu disertai angin kencang menyebabkan beberapa kawasan rendah mula dinaiki air.

Katanya, antara kawasan terjejas ialah Bukit Tandak mencatatkan paras air sekitar 0.7 meter (m) dan Kubang Rambutan dengan bacaan 0.4m.

Selain itu, di beberapa lokasi seperti Tok Deh dan Tersang, turut dinaiki air susulan Sungai Golok sudah melimpah ke kampung.

Kata Suriani, penduduk kini dalam keadaan berjaga-jaga dan membuat persiapan awal sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara.

“Dua hari hujan tak berhenti, air Sungai Golok pun makin naik dan sebagai penduduk memang risau sebab kalau air terus meningkat, rumah-rumah di kawasan rendah akan terjejas.

“Saya sendiri memang dah sentiasa siap sediakan barang-barang penting untuk dibawa sekiranya terpaksa berpindah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hujan berhenti sekitar jam 1 tengah hari, Selasa.

“Setakat ini jalan-jalan utama masih boleh dilalui, tapi kami tetap berjaga-jaga sebab keadaan boleh berubah pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

“Peniaga di kawasan ini pun sudah bersiap-siap, ada yang menyimpan barang jualan di tempat lebih tinggi bagi mengelak kerugian,” tambahnya.

Seorang lagi kontraktor, Sabri Mohamad, 55, berkata, penduduk berharap limpahan air dari Sungai Golok tidak akan berterusan.

“Kami harap keadaan ini hanya air yang lalu sahaja dan tidak menyebabkan mudarat,” katanya.

Berdasarkan Publicinfobanjir.water.gov.my, setakat 12.45 tengah hari Selasa, paras air Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah mencatatkan ketinggian 25.46m.

Paras bahaya bagi lokasi ini ditetapkan pada 23.50m, menunjukkan bahawa paras air melebihi tahap bahaya.

Susulan itu, empat kampung iaitu Kampung Jenob, Kampung Nibong, Kampung Renab dan Kampung Air Bujing dijangka berisiko mengalami banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa banjir tersebut dijangka berlaku mulai jam 6 petang Selasa hingga 12 tengah malam, Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!