Fokus misi buru emas sulung Sukan Olimpik 2020

Reezal Merican (kanan) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama beliau tiba di pejabatnya bagi memulakan tugasnya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS, Putrajaya hari ini.
Reezal Merican (kanan) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama beliau tiba di pejabatnya bagi memulakan tugasnya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS, Putrajaya hari ini.
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah menetapkan beberapa perkara yang menjadi keutamaannya sebaik sahaja melaporkan diri pada hari pertama beliau tiba di pejabatnya di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya hari ini.

Bagi tempoh jangka masa pendek, beliau akan memberi fokus terhadap persediaan kontinjen Malaysia dalam misi memburu pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun Julai depan.

Menurut Reezal Merican, beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu Program Road to Tokyo (RTT) bagi mendapatkan input dengan lebih jelas terhadap persiapan barisan atlet negara menjelang temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

"Pada peringkat ini, saya masih meneliti beberapa perkara yang dalam perancangan saya. Berdasarkan taklimat ringkas itu, saya nampak kita berada pada landasan betul dan kita mengharapkan impian rakyat Malaysia melihat emas pertama hadir pada Tokyo 2020 menjadi realiti.

"Pada waktu ini, kami menjangkakan 35 atlet akan layak ke Sukan Olimpik 2020 manakala 26 lagi akan layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya pada sidang media pada majlis sambutan rasmi beliau selaku Menteri Belia dan Sukan baharu di Menara KBS.

Reezal Merican turut memaklumkan, beliau akan meneruskan dasar dilaksanakan kepimpinan terdahulu yang memberi manfaat kepada pemegang taruh baik dalam bidang belia mahupun sukan.

"Sebab pemegang taruh yang berada dalam KBS tidak harus ditinggalkan begitu sahaja. Sebagaimana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebut, kerajaan ini adalah untuk semua, samalah juga dengan kementerian ini yang pemegang taruhnya adalah belia dan sukan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas memberi jaminan program pembangunan e-Sukan yang turut mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diteruskan.

Artikel Berkaitan:

“e-Sukan ini amat popular dalam kalangan anak-anak muda. Jadi tidak adil jika menteri baharu datang dan terus nak hapuskannya. Saya faham ada yang mahu sukan tradisional diberi promosi yang lebih sebagai budaya kehidupan tetapi kita tidak boleh nafikan fenomena yang sedang tular atau ledakan yang maha hebat ini.

“Jadi buat masa ini, e-Sukan masih berada di atas meja saya dan saya akan teliti apa lagi yang kita boleh dilakukan untuk menjadikan ia lebih sihat,” jelasnya yang pernah memegang portfolio Timbalan Menteri Luar.