Cikgu Stefanus menang RISE Educator Award 2025

PETALING JAYA - Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (P) Kota Kinabalu, Sabah telah dinobatkan sebagai pemenang bagi RISE Educator Award tahun ini.
Stefanus Lucas, 33, menerima anugerah anjuran Taylor’s College bersama cabang penglibatan pelajarnya, The Risers itu sebagai penghargaan atas inisiatif cemerlang beliau dalam menggunakan muzik sebagai alat transformatif untuk memperkasakan murid berkeperluan khas.
Menurut Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan, sepanjang lima tahun pelaksanaan RISE Educator Award, pihaknya menyaksikan ketabahan dan inovasi dalam kalangan guru yang memainkan peranan penting di sebalik tabir dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.
“Para pendidik ini tidak bergantung kepada keadaan yang sempurna, sebaliknya berusaha mengoptimumkan sumber sedia ada.
"Apa yang menggerakkan mereka bukan hanya inovasi, tetapi tujuan yang mendalam dan kepercayaan terhadap murid.
“Malah, ramai yang melaksanakan inisiatif dengan dana sendiri tanpa mengharapkan pengiktirafan," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Fadzliaton Zainudin.

Dalam pada itu Josephine menjelaskan, anugerah tersebut bukan lagi sekadar ganjaran, tetapi telah berkembang menjadi sebuah platform yang menghimpunkan pendidik, komuniti dan pencetus perubahan untuk saling memberi inspirasi serta berkongsi impak.
"Kami yakin bahawa pelaburan terhadap pendidik merupakan pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara," katanya.
Pada majlis tersebut Stefanus menerima wang tunai sebanyak RM5,000 manakala sekolahnya turut menerima wang tunai RM50,000 bagi merealisasikan projek pendidikan yang diilhamkan oleh beliau.
Selain penerima utama itu, empat finalis lain juga menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 seorang dengan sekolah masing-masing menerima peruntukan RM10,000 bagi menambah baik kemudahan dan persekitaran pembelajaran demi menyokong pembangunan murid secara holistik dan berkesan.

RISE Educator Award 2025 menerima lebih 1,000 pencalonan dan lebih 65,000 undian awam dari seluruh negara yang mencerminkan penghargaan mendalam masyarakat terhadap para guru yang membawa perubahan di bilik darjah dan komuniti.

Sementara itu, Stefanus berhasrat menubuhkan kumpulan muzik pelajar Sabah pertama yang menggabungkan alat muzik tradisional dan moden, serta membina ruang muzik khusus untuk murid kurang upaya pendengaran.
“Bagi sesetengah orang, muzik hanyalah sebuah hiburan, tetapi bagi murid saya, ia merupakan nadi yang menghidupkan semangat dan keyakinan diri mereka. “Itulah cara mereka menzahirkan perasaan, membina hubungan dengan orang lain dan percaya pada diri sendiri.
"Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga peringatan bahawa pendidikan inklusif tidak mustahil untuk dicapai dan setiap murid berhak untuk didengari dan diraikan.
"Penghormatan ini saya kongsi bersama mereka kerana ketabahan mereka adalah sumber inspirasi saya setiap hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
