19 sekolah baharu beroperasi tahun ini, atasi isu kepadatan pelajar

SEREMBAN - Tambahan 19 sekolah baharu termasuk dua daripadanya di Selangor akan beroperasi tahun ini bagi mengatasi isu kepadatan pelajar.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata, selain sekolah baharu, pembinaan bangunan kabin serta penyuraian pelajar ke sekolah berhampiran turut dilakukan.
Menurutnya, isu kepadatan pelajar agak tinggi dikenal pasti berlaku di Selangor dan Johor serta beberapa tempat lain susulan peningkatan pendaftaran murid Tahun Satu serta Tingkatan Satu.
"Kementerian Pendidikan telah ambil inisiatif menangani isu tersebut dengan kaedah pembinaan sekolah baharu, membina bangunan kabin yang mengambil masa tiga bulan serta penyuraian pelajar ke sekolah berhampiran.
"Dari semasa ke semasa kementerian sentiasa melihat keperluan yang perlu ditambah baik dan akan memastikan isu sekolah padat ini dapat ditangani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Program Satu Juta Buku Tulis Kitar Semula kepada murid B40 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.
Bantuan satu juta buku kitar semula merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Perbadanan Kota Buku bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta rakan strategik utama iaitu CP Integrated Sdn Bhd.
Bantuan buku tulis itu untuk kegunaan 10,000 murid kepada 2,060 sekolah membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Mengulas lanjut, Azman berkata, isu kepadatan SK Cyberjaya dapat diatasi melalui pembinaan kabin pada tahun lepas sekolah berkenaan.
Ujarnya, kemudahan bangunan kabin di SK Cyberjaya boleh mula digunakan pada sesi persekolahan tahun ini sementara inisiatif sama akan diperluas ke sekolah lain, mengikut keperluan.
Sementara itu beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menerima laporan mengenai isu kepadatan pelajar yang kritikal di Negeri Sembilan.
"Setakat ini Negeri sembilan tiada masalah kepadatan murid, sebaliknya isu ini dihadapi negeri tumpuan yang terdapatn banyak taman perumahan dan kawasan industri dibuka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!