Penunggang motosikal maut rempuh treler buat pusingan U

HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah treler yang sedang membuat pusingan U di Jalan Persiaran Ros, Bukit Sentosa, di sini pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4 petang.
“Siasatan mendapati treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 59 tahun itu datang dari Klang menuju ke Bukit Sentosa untuk mengambil muatan.
“Setibanya di lokasi, treler yang berada di lorong kiri cuba membuat pusingan U, namun motosikal yang ditunggang mangsa dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan kenderaan berat tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Asri berkata, akibat nahas itu, mangsa berusia 57 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!