JPJ keluar notis saman, temu siasat pemandu bas tular pandu bahaya

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan notis saman serta mengambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap dua pemandu bas yang dikesan memandu secara berbahaya menerusi video tular di media sosial.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kedua-dua kes itu melibatkan kenderaan pengangkutan awam (KPA) yang masing-masing dikesan memandu secara berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai arah utara serta sekitar Mersing, Johor.
"Hasil siasatan JPJ mendapati sebuah bas melakukan kesalahan memotong secara berbahaya dan memandu di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan.
"Tindakan saman telah dikeluarkan mengikut Kaedah 6 dan Kaedah 53, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Aedy Fadly berkata, seorang lagi pemandu dan pemilik bas dikenakan Notis Temu Siasat (114) bagi tindakan lanjut berhubung kesalahan yang dilakukan di sekitar Mersing.
"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terlibat.
"Pihak syarikat juga dinasihatkan untuk memantau etika pemanduan para pemandu kenderaan masing-masing bagi memastikan tahap pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, pihak JPJ ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang telah melaporkan aduan berkaitan keselamatan jalan raya.
"Pengguna jalan raya diseru untuk terus melaporkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas secara terus atau masa nyata menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my beserta butiran lengkap aduan," katanya.
Terdahulu, video memaparkan seorang lelaki dipercayai penumpang bas memarahi pemandu kenderaan itu kerana didakwa memandu secara laju, sekali gus menyebabkan penumpang terutama kanak-kanak ketakutan, tular di TikTok sejak Isnin.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Mersing, Johor, dan pemandu juga didakwa menggunakan telefon bimbit ketika memandu dengan kelajuan dikatakan antara 90 hingga 110 kilometer sejam (km/j).
Individu itu turut memaklumkan bahawa pemandu terbabit telah diberi nasihat dan teguran sebanyak dua kali namun tidak diendahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!