Separuh pejabat bank di Teheran ditutup pada Rabu - Laporan

TEHRAN – Hanya 50 peratus pejabat bank di Tehran beroperasi pada Rabu susulan ketegangan konflik berterusan antara Iran dan Israel, lapor agensi berita Iran, ISNA, yang memetik kenyataan Majlis Penyelaras Bank-Bank Iran, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
Menurut agensi tersebut, separuh daripada pejabat bank di ibu negara Iran ditutup ekoran penutupan Bursa Saham Tehran. Baki 50 peratus lagi pejabat bank serta pejabat sokongan bagi cawangan utama Majlis Penyelaras akan terus dibuka.
Senarai pejabat bank yang dibuka pada Rabu telah disenaraikan di laman web rasmi bank-bank terlibat. Pejabat tersebut akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari waktu tempatan (4.30 pagi hingga 8.30 pagi GMT), lapor ISNA.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebelum ini melancarkan operasi berskala besar yang dinamakan Rising Lion pada awal pagi 13 Jun, menyasarkan kemudahan ketenteraan dan program nuklear Iran.
Tentera Udara Israel telah melancarkan beberapa gelombang serangan ke seluruh Iran, termasuk di Tehran, yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera Iran, termasuk Ketua Turus Angkatan Tentera, komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), serta beberapa saintis nuklear.
Beberapa tapak nuklear utama, termasuk Natanz dan Fordow, turut dilaporkan menjadi sasaran dalam serangan itu.- Bernama-Sputnik/RIA Novosti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
