Bebaskan SPRM daripada pengaruh politik jika mahu perangi rasuah - Gema

SHAH ALAM – Kerajaan perlu membuka ruang dengan membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pengaruh politik sekiranya mahu memerangi kegiatan rasuah di negara ini.
Presiden Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Mohammad Amar Masuri berkata, usaha lain turut melibatkan pendedahan kontrak dan bajet kerajaan kepada umum, memberi kesedaran mengenai soal integriti sejak di peringkat sekolah serta melindungi individu yang berani melaporkan kegiatan rasuah.
“Kerajaan juga perlu mengawal dana politik supaya tidak disalah guna, selain mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anak muda menjadi pemantau bersama.
“Rasuah bukan sekadar isu undang-undang. Ia soal kepercayaan rakyat.
“Apabila kepercayaan hilang, harapan juga luntur dan kita sebagai anak muda yang mahu melihat Malaysia maju, merasakan tanggungjawab itu ada pada kita semua,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu di Dewan Karangkraf.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Jun berkata, Kerajaan Perpaduan Madani amat komited menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa, namun pembaharuan untuk memerangi ancaman ini memerlukan sedikit masa untuk mencapai hasil.
Menurut Menteri Kewangan itu, terdapat sesetengah pihak yang tidak sabar dan mahukan pembaharuan secara cepat, tetapi mereka sebenarnya tidak melihat fakta dan realiti sebenar.
Ujar Mohammad Amar, pihaknya terutama generasi muda, sedia menjadi sebahagian daripada gerakan untuk mengubah budaya rasuah di negara ini.
Menurutnya, kegiatan rasuah di negara ini disifatkan sebagai racun kepada harapan dan musuh masa depan.
“Apa pun, reformasi itu memerlukan masa tetapi kalau tidak bermula sekarang, bila lagi? Kita tidak boleh membiarkan masa depan negara digadai oleh kerakusan segelintir pihak.
“Anak muda sekarang tidak mudah terpesona dengan kata-kata. Kita lebih rela melihat laporan, menyemak data dan menilai semula sejauh mana kerajaan serius mahu mengubah sistem yang telah lama pincang.
“Lebih penting, kita tidak mahu menjadi penonton, kita mahu mengambil bahagian,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

