X

Kindly register in order to view this article
!

Isu rasis: MFL minta pihak terjejas buat aduan rasmi

Ab Ghani
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) meminta pihak terlibat supaya tampil membuat aduan rasmi kepada badan pentadbir itu sekiranya timbul isu perkauman dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL sebagai badan pentadbir Liga-M memandang serius isu berkenaan, namun menegaskan pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan permasalahan itu.

"MFL pasti akan melihat mengenai perkara ini tetapi kini kami tidak ada menerima apa-apa laporan rasmi daripada pihak yang terjejas dengan isu perkauman," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM Kelana Jaya di sini hari ini.

Sabtu lalu, pengendali Selangor, B Sathianathan mendakwa dirinya serta beberapa pemain skuad Gergasi Merah menjadi mangsa komen berbaur perkauman oleh segelintir penyokong di laman sosial Facebook.

Menurut bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan berusia 62 tahun itu, beliau juga didakwa mengamalkan sikap pilih kasih kerana menyenaraikan pemain pertahanan, K Prabakaran dalam kesebelasan utama pasukan Selangor.

"MFL dan FAM akan mengambil tindakan serius susulan kenyataan dikeluarkan Sathianathan itu," tegas Ab Ghani.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, isu perkauman dibangkitkan Sathianathan itu tidak menggambarkan moral keseluruhan peminat bola sepak di Malaysia, namun tetap menasihati semua penyokong agar menjaga adab serta mempamer akhlak yang baik kepada barisan pemain dan penyokong pasukan lawan.

"Satu atau dua komen berbaur perkauman tidak menggambarkan moral sebenar keseluruhan peminat bola sepak Malaysia.

"Setiap penyokong perlu ingat Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan bola sepak kita telah memasuki era profesional. Tentu setiap keputusan jurulatih itu berdasarkan kemampuan dimiliki seseorang pemain," tambah Mohd Yusoff.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus