Teknologi nuklear baharu perlu diteroka dengan serius - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah.
Akmal Nasrullah.
A
A
A

SHAH ALAM - Teknologi nuklear baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMR) dan loji nuklear terapung perlu diteroka secara serius sebagai sebahagian daripada strategi sifar bersih (net zero) negara.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata, langkah tersebut perlu dipertimbangkan meskipun teknologi berkenaan tidak diklasifikasikan sebagai tenaga boleh diperbaharui.

“Tanpa tenaga nuklear, sukar untuk Malaysia mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.

“Banyak laporan media menyiarkan kenyataan saya ini kerana mungkin dianggap baharu dan radikal, namun saya akan terus bersuara tentang isu yang merupakan keperluan mendesak, termasuklah tenaga nuklear,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Menurut Akmal, Forum Energy Asia yang membincangkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sepatutnya turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jelasnya, kedua-dua menteri tersebut merupakan antara individu yang merintis pelaksanaan NETR bersama penjawat awam lain.

“Maka wajar kredit diberikan kepada mereka. NETR bukan sekadar pelan hala tuju; ia adalah pelaksanaan yang menunjukkan bahawa masa depan ekonomi negara mesti berpaksikan kelestarian.

“Dalam sektor tenaga, cabaran yang kita hadapi kini jauh lebih besar berbanding sepuluh atau dua puluh tahun lalu, dengan permintaan terhadap tenaga yang terus meningkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Malaysia juga perlu memperkasakan pengguna tenaga berskala besar untuk beralih kepada sumber tenaga hijau.

“Melalui inisiatif Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), pusat data kini boleh mendapatkan tenaga boleh diperbaharui secara terus daripada pembekal melalui grid dengan akses pihak ketiga.

“Di peringkat serantau pula, kita sedang menggerakkan Grid Kuasa ASEAN bagi membolehkan perdagangan tenaga rentas sempadan serta memperkukuh ketahanan tenaga ketika permintaan memuncak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!