Ronaldo hantar jersi berserta mesej kepada Trump

RIYADH – Bintang bola sepak ternama dunia, Cristiano Ronaldo, menggunakan pengaruh globalnya untuk menyeru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump agar memainkan peranan lebih adil dalam usaha mencapai keamanan sejagat.
Menerusi satu rakaman video yang tular ketika ini, bekas penyerang Manchester United itu mengirimkan sehelai jersi Portugal yang ditandatangani bersama satu mesej ditujukan kepada pemimpin negara Uncle Sam itu.
"Presiden Trump, bermainlah demi untuk perdamaian," demikian tulisan pesanan yang dizahirkan oleh Ronaldo di atas jersi tersebut.
Video berkenaan turut dikongsikan oleh akaun rasmi @TouchlineX di platform X (dahulunya Twitter), menunjukkan jersi Portugal milik Ronaldo dengan nama beliau serta mesej berkenaan yang ditujukan kepada Trump.
Kiriman Ronaldo itu dilaporkan hadir dalam suasana ketegangan geopolitik di Asia Barat susulan konflik berterusan antara rejim Zionis Israel dan Iran yang menyaksikan pertukaran serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Sejak menyertai kelab Al-Nassr di Liga Pro Saudi, Ronaldo semakin dikenali dalam kalangan masyarakat Arab dan secara konsisten menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Mesej terbaru beliau kepada Trump disifatkan sebagai usaha simbolik dalam menyuarakan harapan agar Amerika Syarikat – yang sering dikritik kerana sokongannya terhadap Israel – memainkan peranan lebih saksama terhadap negara-negara Islam dan usaha perdamaian antarabangsa. - Stadium Astro/AWANI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
