Forum khas perkasa kefahaman terhadap lambang kebesaran negara

Empat panel yang menjayakan Forum Khas Menyanjung Lambang Kebesaran Negara Tanggungjawab Setiap Warganegara anjuran IPPTAR bersama moderator fourm (kiri).
Empat panel yang menjayakan Forum Khas Menyanjung Lambang Kebesaran Negara Tanggungjawab Setiap Warganegara anjuran IPPTAR bersama moderator fourm (kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menganjurkan “Forum Khas Menyanjung Lambang Kebesaran Negara: Tanggungjawab Setiap Warganegara”, yang berlangsung di Dewan Cendekiawan, IPPTAR pada Isnin.

Forum yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin ini, merupakan inisiatif IPPTAR bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pengamal media kerajaan dan swasta mengenai erti serta nilai simbol-simbol kebangsaan seperti Jalur Gemilang, Jata Negara dan Lagu Kebangsaan.

Objektif forum ini adalah untuk menyemai rasa hormat terhadap lambang-lambang negara serta memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada tanah air.

Seramai empat panel yang menjayakan forum yang julung kali diadakan ini iaitu Penolong Pengarah Kanan, Akademi Kenegaraan Malaysia Dr. Muhamad Saifulbakri Yusoof, Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Mohd Sabri Abdullah, Pegawai Penerangan Daerah Petaling, Ruddyansjah Mahtar Hams dan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin.

Dalam ucapan perasmiannya, Nik Kamaruzaman menekankan bahawa lambang kebesaran negara merupakan asas kepada maruah dan kedaulatan sesebuah negara yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh seluruh rakyat.

“Kedaulatan negara bukan sahaja berkisar tentang keselamatan sempadan atau ancaman luaran, tetapi turut merangkumi penghormatan terhadap simbol-simbol rasmi negara yang mencerminkan identiti dan warisan kita.

“Rakyat mesti sentiasa peka dan berhati-hati dalam tutur kata, penulisan dan sebarang bentuk komunikasi yang melibatkan lambang negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Kamaruzaman mengesa semua pihak cakna mengenai lambang-lambang kebesaran negara yang mencerminkan identiti yang menyuntik semangat patriotik kehadap negara Malaysia.
Nik Kamaruzaman mengesa semua pihak cakna mengenai lambang-lambang kebesaran negara yang mencerminkan identiti yang menyuntik semangat patriotik kehadap negara Malaysia.

Beliau turut mengingatkan bahawa media memainkan peranan penting dalam menyampaikan gambaran sebenar tentang kestabilan dan keharmonian negara kepada dunia.

Oleh itu, Nik Kamaruzaman menyeru agar komuniti media yang terdiri daripada golongan profesional dan terpelajar, sentiasa menunjukkan contoh teladan yang baik serta bertanggungjawab dalam menjaga imej dan maruah negara.

Program ini juga bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan baru-baru ini, yang menyeru rakyat memperkukuhkan perpaduan sebagai hadiah kepada Tuanku.

ROSLAN
ROSLAN

Sementara itu, bagi Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin, forum ini merupakan satu inisiatif yang sangat bermakna dalam memperkukuh kefahaman serta kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pengamal media kerajaan dan swasta, mengenai peranan dan nilai lambang-lambang kebesaran negara seperti Jalur Gemilang, Jata Negara, Lagu Negaraku dan Rukun Negara.

“Lambang-lambang ini bukan sekadar simbol semata-mata tetapi mewakili sejarah, maruah dan kedaulatan negara yang telah kita warisi dan wajib kita pelihara.

“Sebagai institusi latihan awam dalam bidang penyiaran, penerangan dan teknologi kecerdasan buatan (AI), IPPTAR sentiasa komited untuk meneruskan penganjuran program berbentuk wacana ilmiah seperti ini, yang mampu menyemai rasa hormat, tanggungjawab serta semangat patriotisme dalam kalangan peserta.

“Amat penting untuk setiap pengamal media memahami sensitiviti dan menghargai lambang-lambang negara, supaya ia tidak disalah guna atau dipandang remeh dalam mana-mana bentuk penyampaian maklumat,” ujarnya.

NURUL NAJWA
NURUL NAJWA

Bagi Koordinator Kluster Komunikasi Strategik (KKS) IPPTAR, Nurul Najwa Mohd Amin yang menjadi penyelaras forum Khas itu menegaskan, platform seumpama ini penting untuk diadakan lebih kerap di masa akan datang.

“Forum seperti ini sangat penting diadakan secara berkala kerana ia mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai erti sebenar lambang kebesaran negara dan peranan setiap warganegara dalam memelihara maruah dan identiti negara.

“Ia bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi mencerminkan sejarah, perjuangan, dan jati diri negara yang perlu dihormati.

“Sebagai rakyat, kita harus dididik untuk memahami makna di sebalik lambang ini agar rasa cinta dan tanggungjawab terhadap negara semakin kukuh. IPPTAR komited meneruskan inisiatif ini sebagai platform komunikasi strategik yang berimpak dan berterusan,” katanya.

Turut hadir dalam program ini ialah Penasihat Undang-Undang Kementerian Komunikasi, Farhati Ahmad Tajuddin dan Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam.

Forum ini menghimpunkan para peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pengamal media dan individu berkepentingan dalam bidang komunikasi dan kenegaraan. Ia turut memberi ruang kepada sesi perbincangan dan perkongsian pandangan dalam usaha memperkukuh semangat patriotik dan kesedaran sivik rakyat Malaysia.

Dengan penganjuran forum ini, IPPTAR meneruskan komitmen sebagai institusi latihan utama dalam bidang penyiaran dan komunikasi, bukan sahaja dalam memperkasa kemahiran teknikal, tetapi juga dalam membentuk jati diri dan tanggungjawab sivik warganegara Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!