Bomba cedera terkena renjatan elektrik ketika padam kebakaran rumah

PUTATAN – [DIKEMAS KINI] Dua anggota bomba cedera ketika sedang melakukan operasi memadam kebakaran melibatkan lapan rumah di Kampung Petagas, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Pegawai Bomba Melvin Seanstanly, 27, dipercayai terkena renjatan elektrik, manakala seorang lagi, Pegawai Bomba Bantuan Muhammad Zaki Sapri, 28, mengalami strok haba ketika mereka sedang menjalankan kerja memadam api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, dalam kejadian itu seramai enam anggotanya dikejarkan ke lokasi dengan bantuan anggota dari BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.
“Menurut laporan, sebanyak lapan rumah jenis separuh kekal telah terbakar sepenuhnya dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua rumah berada dalam keadaan berjarak dekat.
“Operasi memadam kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air terbuka, dari jentera dan juga tangki,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, operasi memadam kebakaran masih dijalankan dan setakat ini tiada penghuni rumah yang cedera dalam kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, terdapat dua anggota bomba cedera dalam kejadian ini iaitu seorang dari BBP Putatan dan seorang lagi dari BBP Kota Kinabalu.
“Kedua-dua anggota telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
