Lelaki ikat, seret anjing guna motosikal

Seorang lelaki kelihatan mengheret anjing yang diikat menggunakan motosikal.
Seorang lelaki kelihatan mengheret anjing yang diikat menggunakan motosikal.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki yang mengheret seekor anjing menggunakan motosikal telah mengejutkan orang ramai dan mencetuskan kemarahan di media sosial.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Bandar Puteri Jaya itu dirakam oleh seorang wanita, sebelum dimuat naik ke media sosial.

Video tersebut memaparkan lelaki terbabit menarik anjing yang diikat menggunakan tali sambil menunggang motosikal, sehingga menyebabkan kecederaan pada haiwan itu.

Seorang pengguna jalan raya dilaporkan bertindak menghalang lelaki terbabit bagi menghentikan perbuatannya.

Menurut maklumat awal, lelaki itu dipercayai pemilik anjing berkenaan dan dikatakan tidak mahu lagi memelihara haiwan tersebut yang telah dibela sejak empat bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati anjing tersebut mengalami kecederaan dan telah dihantar ke klinik haiwan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, tindakan selanjutnya akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan mengikut bidang kuasa mereka.

“Suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!