[VIDEO] Penduduk bimbang ancaman harimau belang kembali
KULIM – Kemunculan harimau belang di sekitar Kampung Ulu Dingin di sini yang menyebabkan haiwan ternakan terkorban menggusarkan penduduk.
Penduduk, Muhammad Khairul Azlan Che Hamid, 37, berkata, lembu miliknya yang sedang bunting dijumpai mati dalam keadaan dibaham di bahagian belakang, dalam kejadian di kaki Gunung Inas pada Khamis lalu.
Beliau yang juga merupakan penternak dan pengusaha ladang kelapa sawit berkata, kejadian kali ini merupakan lembu ketujuh miliknya yang terkorban dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Pada tahun 2023, dua ekor lembu saya mati, manakala pada 2024, empat ekor pula... secara keseluruhan termasuk tahun ini, sudah tujuh ekor kesemuanya,” katanya.
Muhammad Khairul Azlan berkata, beliau mula menternak di sekitar perkampungan itu sejak 2010 dan kini memiliki kira-kira 70 ekor lembu.

“Bagaimanapun, pagar saya kini rosak dan sedang dibaiki... menyebabkan ada lembu yang berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.
“Pada hari kejadian Khamis lalu, sekitar pukul 5 pagi, saya baru sahaja melalui kawasan itu untuk menghantar isteri ke tempat kerja dan nampak masih ada lembu berkumpul di tempat biasa... namun beberapa jam kemudian, seorang kawan telefon dan beritahu lembu saya dah mati. Saya syak baru sahaja mati, berdasarkan keadaan darah yang masih segar,” katanya.
Jelasnya, penduduk percaya kematian haiwan ternakan disebabkan diserang harimau belang, memandangkan berlaku beberapa kejadian serupa pada Januari dan Mac tahun ini.
“Sejak serangan terbaharu itu, kami sekeluarga lebih berwaspada setiap masa memandangkan kedudukan rumah kami agak jauh dari rumah orang lain dan terpencil,” katanya.

Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Penghulu Mukim Mahang, Mohd Naim Zamhuri Zainul Abidin berkata, sepanjang tahun 2025, pihaknya telah menerima tiga laporan daripada penduduk kampung yang mendakwa haiwan ternakan terkorban disyaki diserang harimau belang.
“Pada 15 Januari, dua ekor lembu mati, 17 Mac seekor dan terbaru pada 12 Jun seekor... secara keseluruhan empat ekor. Setakat ini, kita sudah majukan laporan kepada Pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut.
“Keadaan masih terkawal dan lokasi kejadian pula jauh di dalam ladang, kira-kira 10 kilometer dari pekan Mahang. Kampung Ulu Dingin pula hanya mempunyai lebih kurang 10 buah rumah dengan jarak antara satu sama lain yang agak jauh,” katanya.
Jelasnya, setakat ini perangkap telah dipasang pihak berkuasa di Kampung Ulu Dingin dan Ulu Mahang, begitu juga dengan alat kamera pemantau bagi mengawasi pergerakan haiwan liar tersebut.
“Saya juga difahamkan pihak berkenaan telah menempatkan renjer komuniti sebagai pengawasan.
“Kita juga telah membuat makluman umum kepada jawatankuasa kampung untuk memberi peringatan berjaga-jaga kepada penduduk sekitar supaya tidak terlalu terdedah di kawasan tersebut. Pihak penternak juga telah dimaklumkan supaya tidak melepaskan ternakan terlalu bebas keluar atas faktor keselamatan dan mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!