Perhilitan pasang perangkap susulan aduan kemunculan harimau belang

GERIK – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah meletakkan perangkap serta memasang perangkap kamera bagi mengesan kehadiran harimau belang di Kampung Star Kechil di sini pada Sabtu lalu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, langkah itu diambil susulan laporan penduduk selepas menemui empat ekor lembu mati dipercayai diserang binatang buas.
“Siasatan mendapati ternakan itu dibunuh tetapi tidak dimakan. Usaha dijalankan dan kita berjaya mengesan harimau terbabit.
“Tindakan lanjut dilakukan dengan memasang perangkap dan perangkap kamera. Setakat ini, tiada jejak baru ditemui,” katanya ketika ditemui pada Operasi Pindah Gajah di Kampung Padang Stang di sini pada Selasa.
Menurut Yusoff, pihaknya mengharapkan haiwan pemangsa itu telah kembali semula ke habitat asalnya di hutan berhampiran.
Tambah beliau, aduan kehadiran harimau belang tersebut bukanlah kali pertama diterima.
“Jumlah babi hutan yang berkurangan antara punca harimau ini keluar dari kawasan habitatnya dan mula mengganggu penempatan manusia.
“Justeru, kita melaksanakan projek perintis dengan melepaskan babi yang ditangkap ke hutan berhampiran bagi memelihara haiwan terlindung itu,” katanya.
Yusoff berkata, penduduk juga diingatkan untuk tidak mengambil langkah sendiri atau membuat provokasi sekiranya berhadapan haiwan liar serta melaporkan kepada pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!