PRIME perkasa komunikasi ketika bencana

CYBERJAYA - Kerajaan melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang berfungsi sebagai sistem sokongan strategik bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dapat diteruskan semasa operasi kecemasan dan bencana.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sistem yang menelan belanja RM1 juta seunit itu dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membantu pasukan penyelamat beroperasi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam situasi kritikal apabila liputan sedia ada terganggu.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara sering berdepan dengan bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran yang kadang kala menjejaskan perkhidmatan komunikasi.
"Pada ketika inilah komunikasi menjadi keperluan paling kritikal. Maka, PRIME dibangunkan untuk memastikan ketersambungan dapat diteruskan pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan," katanya semasa Majlis Peluncuran PRIME di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PRIME bukan sekadar sebuah kenderaan tetapi merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak yang menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron.
"Sistem PRIME juga direka dengan keupayaan menggabungkan lebar jalur daripada sambungan satelit dan selular bagi menyediakan capaian internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil.
"Liputan internet boleh mencapai sejauh 150 meter di sekeliling kenderaan PRIME dengan sokongan titik capaian Wi-Fi yang membolehkan jangkauan diperluas," katanya.
Selain itu, Fahmi berkata dron yang dilengkapi pembesar suara dan mikrofon membolehkan komunikasi dua hala antara pasukan penyelamat dan mangsa.
"Dron ini mampu terbang sejauh 5KM selama lima jam. Jadi ini akan memudahkan operasi penyelamatan," jelas beliau.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tiga unit PRIME dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini bagi memenuhi keperluan negara.
"Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan beroperasi di Semenanjung Malaysia manakala dua lagi unit dijangka siap pada suku keempat 2025 dan ditempatkan di Sabah dan Sarawak.
"Langkah ini bagi memastikan kesiapsiagaan di Malaysia Timur turut diperkukuh secara menyeluruh," katanya.
Fahmi turut memaklumkan PRIME akan digunakan bukan sahaja dalam pengurusan bencana, malah berpotensi membantu program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
"PRIME membolehkan NADI berfungsi sebagai pusat digital bergerak yang membawa akses internet terus ke kawasan komuniti.
"Inisiatif ini penting bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman tidak tercicir dalam arus digital negara," ujarnya.
Beliau berharap kehadiran PRIME akan meningkatkan keupayaan agensi-agensi bertindak secara pantas dan bersepadu dalam usaha melindungi nyawa serta menyelamatkan harta benda ketika bencana.
"PRIME juga menjadi platform strategik memperkukuh kerjasama antara SKMM dengan agensi-agensi penyelamat bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

