Wanita maut tercampak keluar selepas kereta terbabas langgar van

JOHOR BAHRU – Gara-gara hilang kawalan ketika memandu, seorang wanita maut selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 4, Jalan Skudai berhampiran Pantai Lido awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada jam 6.45 pagi melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 39 tahun dan sebuah van dipandu seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Bezza dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang kanan van berkenaan.
“Akibatnya, kereta tersebut terbabas ke sebelah kiri jalan menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan.
“Pemandu Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Polis meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan di Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!