Cari lembu hilang, jumpa mayat reput tergantung di pokok

Mayat reput yang ditemui tergantung di dalam sebuah ladang kelapa sawit di di Felda Gunung Besout 2, Trolak di Tanjung Malim pada Isnin.
Mayat reput yang ditemui tergantung di dalam sebuah ladang kelapa sawit di di Felda Gunung Besout 2, Trolak di Tanjung Malim pada Isnin.
A
A
A
TANJUNG MALIM – Penemuan mayat reput dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok di ladang kelapa sawit mencetuskan misteri di Felda Gunung Besout 2, Trolak, di sini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 5.13 petang, Ahad.

Menurutnya, kejadian disedari oleh seorang penduduk yang sedang mencari lembu ternakannya sebelum ternampak mayat tersebut tergantung pada dahan pokok kira-kira 10 meter dari jalan utama ladang berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati mayat berada dalam keadaan reput dan tidak berpakaian.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui, namun berhampiran lokasi terdapat sehelai baju dalam wanita di dalam parit serta sepasang selipar berwarna biru bersaiz 40. Di leher mayat juga terdapat tali yang dipercayai rantai ikatan perkahwinan kaum India,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Hasni berkata, mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Beliau turut meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara atau rakan agar tampil membantu siasatan dan proses pengecaman.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat atau ingin membuat laporan boleh menghubungi Pemangku Ketua Polis Balai Trolak, Sarjan Mohamad Riza Sahiaren di talian 017-560 3331 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-452 8222.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!