'Saya rakam, kemudian ia meletup!'

Rakaman video memaparkan pesawat Air India AI171 sebelum ia terhempas.
Rakaman video memaparkan pesawat Air India AI171 sebelum ia terhempas.
A
A
A

AHMEDABAD – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang secara tidak sengaja merakam detik nahas pesawat Air India AI171 di Ahmedabad, Gujarat pada Khamis lalu tampil memberikan keterangan kepada pihak polis sebagai saksi utama kejadian yang mengorbankan 270 nyawa itu.

Remaja dikenali sebagai Aryan itu menceritakan bagaimana dalam tempoh hanya 24 saat selepas beliau merakam video pesawat tersebut, ia terhempas dan meletup menjadi 'bola api'.

Pesawat Boeing 787-7 Dreamliner milik Air India itu dilaporkan terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel menuju ke Gatwick, United Kingdom.

Menurut Aryan, ketika itu beliau hanya merakam pesawat berkenaan seperti biasa dari rumah sewanya yang terletak berhampiran lapangan terbang, sebelum menyaksikan tragedi ngeri itu berlaku di depan mata.

Raj Singh, 16, yang berada bersama Aryan ketika video dirakam berkata ini merupakan kali pertama Aryan dan adik perempuannya melawat apartmen sewa yang didiami bapa mereka sejak enam bulan lalu. Foto Agensi
Raj Singh, 16, yang berada bersama Aryan ketika video dirakam berkata ini merupakan kali pertama Aryan dan adik perempuannya melawat apartmen sewa yang didiami bapa mereka sejak enam bulan lalu. Foto Agensi

“Saya rasa sangat takut. Adik perempuan saya yang mula-mula tengok video itu. Saya pun rasa trauma apabila lihat semula rakaman itu,” katanya kepada media tempatan.

Video yang dirakam Aryan menjadi antara bukti visual pertama yang tersebar di media sosial dan siaran berita, serta digunakan bagi memberikan gambaran awal tentang tragedi tersebut.

Ketua Polis Cawangan Jenayah Ahmedabad dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Aryan hadir bersama bapanya untuk memberikan keterangan sebagai saksi, dan tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadapnya.

“Dia hadir bersama bapanya untuk membantu siasatan dan telah dibenarkan pulang. Tiada sebarang penahanan dilakukan,” menurut kenyataan yang dipetik oleh agensi berita PTI.

Artikel Berkaitan:

Kakak Aryan turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan emosi adiknya itu, dan memberitahu bahawa Aryan tidak mahu tinggal di kawasan tersebut lagi kerana berasa takut dan tidak mampu bercakap dengan baik.

Pemilik rumah sewa remaja itu yang turut menyaksikan keadaannya selepas kejadian berkata:

“Saya dapati dia sangat terkejut dan langsung tidak bercakap. Saya cuba menenangkannya, tetapi dia berjaga sepanjang malam dan tidak mahu makan,” katanya.

Sebuah kren mengangkat ekor pesawat dari lokasi nahas yang dirakam di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad pada 14 Jun 2025. Foto AFP
Sebuah kren mengangkat ekor pesawat dari lokasi nahas yang dirakam di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad pada 14 Jun 2025. Foto AFP

Tragedi itu berlaku pada 11 Jun apabila pesawat Air India AI171 yang membawa 230 penumpang dan 12 anak kapal terhempas ke dalam kompleks asrama pelajar perubatan di kawasan Meghani Nagar, kira-kira dua kilometer dari lapangan terbang.

Nahas tersebut mengorbankan 241 orang dalam pesawat, manakala 29 lagi mangsa yang berada di darat turut maut, menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 270 orang setakat Sabtu, 14 Jun.

Satu-satunya mangsa terselamat ialah seorang penumpang lelaki yang duduk di tempat duduk 11A dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Menurut Setiausaha Penerbangan Awam India, Samir Kumar Sinha, pesawat berkenaan hanya sempat naik ke ketinggian 200 meter sebelum hilang ketinggian secara drastik.

“Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) cuba menghubungi pesawat, namun tiada maklum balas. Tepat seminit kemudian, pesawat itu terhempas,” katanya dalam satu sidang media khas. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!