Debat koperasi asah pemikiran kritis, perkukuh nilai koperasi - IKMa

PETALING JAYA – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berharap Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2025 edisi kedua dapat menjadi platform mengasah pemikiran kritis dan membina budaya intelektual dalam kalangan mahasiswa.
Pertandingan anjuran bersama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) itu menjadi salah satu inisiatif strategik IKMa dalam usaha memperkenalkan konsep dan nilai koperasi kepada mahasiswa di IPT seluruh negara.
Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, pertandingan debat itu bukan sekadar medan berhujah sebaliknya ia juga platform untuk melatih pemikiran kritis, membina keyakinan diri serta memupuk budaya intelektual dalam kalangan mahasiswa.
"Lebih penting lagi, tema koperasi dibawa membolehkan peserta memahami dan menghayati cabaran sebenar dalam pembangunan sosioekonomi melalui gerakan koperasi.
"Pertandingan debat itu juga merupakan salah satu platform pembudayaan koperasi kepada golongan belia, selain inisiatif seperti Program Graduan ke Koperasi (G2K) dilaksanakan IKMa bagi memperkenalkan konsep dan nilai koperasi kepada pelajar IPT," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri KUSKOP Peringkat IPT 2025 di IKMa pada Ahad.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Koperasi itu melalui rakaman video.

Hadir sama, Pengerusi MADUM, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain; Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Dr Azlan Yahya dan Ahli Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Wira Dr Rosli Mat Hassan.
Beliau berkata, sebagai agensi latihan di bawah KUSKOP, IKMa sentiasa komited dalam memperkasa modal insan melalui pelbagai pendekatan pembelajaran kreatif dan berimpak tinggi.
Jelasnya, KUSKOP pula terus menjadi tulang belakang kepada segala usaha pembangunan koperasi termasuk melalui penyertaan aktif belia dalam koperasi, bidang kepimpinan, keusahawanan dan pembudayaan koperasi.
Justeru, Mohd Ali menyifatkan, pertandingan itu jelas sejajar dengan hasrat murni tersebut.
Menurut beliau, sambutan penyertaan diterima tahun ini juga amat menggalakkan dan mencerminkan peningkatan kesedaran warga IPT terhadap kepentingan koperasi dalam pembangunan komuniti.
"Sambutan seumpama itu memberi isyarat positif bahawa koperasi kini semakin dekat di hati generasi muda dan institusi pendidikan tinggi," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) dan Bank Rakyat atas komitmen dan sokongan padu mereka dalam menjayakan penganjuran edisi kali ini.
Seramai 48 pendebat daripada 23 pasukan mewakili 18 universiti awam dan lima institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara mengambil bahagian dalam edisi kedua tersebut.
Pasukan pendebat dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai johan mengatasi pendebat dari IPT lain, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 dan trofi.
Universiti Sains Malaysia (USM) yang meraih naib johan pula membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mendapat tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000 berserta trofi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

