Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

KUALA LUMPUR - Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci Makkah menjadikan jumlah keseluruhan 15 orang setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Nor Azamuddin Ahmad, 56, dari kumpulan KT073 menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci Makkah pada jam 5.10 petang semalam waktu tempatan akibat serangan jantung.
Beliau berkata, jemaah lelaki itu menetap di Bangunan Marsa Al Jariah, Maktab 81 (PJH - Mahabbateen) dan beliau ditemani isteri, Rozina Saad ketika di Tanah Suci.
"Pihak Tabung Haji telah menguruskan pengesahan kematian dan memaklumkan berita pemergian kepada waris di tanah air. Segala urusan jenazah akan diuruskan oleh petugas haji, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan atas ujian itu.
"Marilah kita semua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Amin ya Rabbal ‘alamin,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
