Bilionair India maut tertelan lebah ketika bermain sukan polo

LONDON – Rakan kepada Putera William dan bilionair India terkenal, Sunjay Kapur, dilaporkan meninggal dunia ketika bermain polo di United Kingdom, Khamis lalu.
Kapur, 56, yang juga Pengerusi syarikat alat ganti kenderaan global, Sona Comstar, rebah ketika berada di padang polo, dipercayai akibat renjatan anafilaksis selepas disengat lebah di dalam mulutnya, sehingga menyebabkan jantungnya berhenti berfungsi.
Beberapa jam sebelum insiden itu, Kapur sempat memuat naik catatan terakhirnya di media sosial, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi nahas pesawat Air India di Ahmedabad.
“Berita mengerikan tentang nahas tragis Air India di Ahmedabad. Renungan dan doa saya bersama semua keluarga yang terjejas. Semoga mereka mendapat kekuatan dalam masa yang sukar ini,” tulis beliau.
Sunjay Kapur dikenali ramai bukan sahaja sebagai ahli perniagaan berjaya, malah kerana minatnya terhadap sukan polo dan perkahwinannya yang berprofil tinggi dengan bintang Bollywood, Karisma Kapoor.
Perkahwinan pasangan tersebut berakhir dengan kontroversi melibatkan dakwaan keganasan rumah tangga, termasuk tuduhan bahawa Kapur meninggalkan anak mereka yang sedang sakit semata-mata untuk bermain polo.
Mendiang merupakan ahli perniagaan berpendidikan British yang sering terlibat dalam aktiviti sosial kelas atasan India dan United Kingdom. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
