Pas tidak pernah buat keputusan lantik Presiden ganti Abdul Hadi

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM
A
A
A

KOTA BHARU – Pas sehingga kini tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk melantik mana-mana individu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hadi Awang, selain mengekalkan kepimpinan yang diterajui beliau selama lebih 20 tahun.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti berkenaan tidak pernah mempersoalkan kepimpinan Abdul Hadi.

“Kita tidak pernah persoal langsung. Isu ini dibangkitkan oleh orang luar, mungkin kerana mereka melihat sistem pentadbiran Pas yang teratur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kota Bharu pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau memberitahu, bagaimanapun parti itu lebih terbuka dan tidak akan menyekat sesiapa sahaja untuk dicalonkan sebagai presiden.

Jelas beliau, Pas sentiasa berpegang kepada Perlembagaan parti dari segi kebebasan ahli untuk mencalonkan sesiapa sahaja, namun tetap memilih kepimpinan ulama.

“Kita mengekalkan tradisi kepimpinan ulama, menerima dasar yang ditetapkan oleh parti serta berpegang teguh kepada sumber al-Quran dan hadis,” katanya lagi.

Justeru, jelas beliau, pemimpin Pas perlu mempunyai kepakaran, kemahiran dan mengikuti panduan syarak dalam membuat sebarang keputusan.

Artikel Berkaitan:

“Pemimpin Pas perlu bijak mengambil nas daripada hadis dan al-Quran, serta sentiasa berijtihad kerana dalam politik terdapat banyak perkara baharu yang tidak boleh melanggar hukum syarak dalam membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin memberitahu bahawa Pas mempunyai Majlis Syura Ulama, dan antara ahlinya termasuk Presiden dan Timbalan Presiden.

“Kita tidak pernah menolak golongan profesional, tetapi mahu mereka menerima panduan daripada ulama dan itu merupakan tradisi Pas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan desas-desus mengenai Presiden Pas yang menerajui parti itu selama 20 tahun bakal berundur atas faktor kesihatan.

Tuan Ibrahim turut menandatangani potret beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kota Bharu pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!