Chelsea dikritik jual pemain bintang kepada Arsenal

Arteta bakal membawa masuk Kepa ke Arsenal.
Arteta bakal membawa masuk Kepa ke Arsenal.
A
A
A

CHELSEA diberi amaran bahawa mereka sedang melakukan satu kesilapan besar apabila mahu menjual penjaga gol mereka, Kepa Arrizabalaga, kepada seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Pengendali The Gunners, Mikel Arteta, dijangka mengalu-alukan kehadiran penjaga gol berusia 30 tahun itu dalam masa terdekat sebagai pelapis baharu kepada David Raya.

Penjaga gol pinjaman, Neto, sebelum ini mengisi peranan tersebut musim lalu namun gagal menyerlah dalam satu-satunya penampilannya sebelum kembali ke kelab asalnya, Bournemouth.

Chelsea sebelum ini membelanjakan sebanyak £72 juta (RM415 juta) untuk mendapatkan Kepa dari Athletic Bilbao pada 2018, menjadikannya penjaga gol termahal dalam sejarah.

Namun, Kepa gagal menepati jangkaan di Stamford Bridge dan akhirnya kehilangan tempat dalam kesebelasan utama.

Walaupun Kepa telah kembali ke Chelsea selepas tamat tempoh pinjamannya bersama Bournemouth, The Blues dilaporkan sedang mencari penjaga gol baharu dan jelas tidak berminat untuk mengekalkan pemain yang kini berpotensi menyertai Arsenal itu.

Bagaimanapun, bekas pemain sayap Chelsea, Shaun Wright-Phillips, mempersoalkan keputusan kelab lamanya itu selepas menyifatkan prestasi Kepa bersama Bournemouth musim lalu sebagai luar biasa.

Wright-Phillips percaya Kepa masih mempunyai kemampuan untuk kembali sebagai penjaga gol utama Chelsea dan sekali gus menjimatkan kos kelab daripada perlu berbelanja besar musim ini.

“Saya keliru. Saya tak faham. Macam tiada siapa tengok Kepa musim ini. Dia memang luar biasa. Dia antara sebab Bournemouth berjaya mencapai kedudukan seperti musim lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut turut mendapat perhatian legenda Arsenal, Ray Parlour, yang turut tampil mengulas perpindahan tersebut dan mencadangkan agar Kepa menolak tawaran The Gunners.

“Semuanya bergantung kepada sama ada dia mahu bermain atau tidak, sebab dia takkan jadi pilihan utama di Arsenal.

“Dia akan jadi penjaga gol nombor dua. Soalannya, adakah dia mahu jadi nombor dua? Sedangkan dia adalah nombor satu di Bournemouth. Kalau saya berada di tempat Kepa, saya mahu bermain. Pada usia sekarang, duduk di bangku simpanan hanya akan menjadi penyesalan apabila sudah bersara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!