UMNO Perak nafi wujud gerakan beli ADUN

Azian
Azian
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menafikan tuduhan terdapatnya usaha membeli Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) bagi menyokong calon parti itu sebagai Menteri Besar baharu.

Setiausahanya, Datuk Azian Osman berkata, gerakan membeli sepertimana dilaporkan sebuah portal berita, sama sekali tidak wujud dan tidak pernah berlaku.

Dalam laporan berkenaan, beliau juga dituduh menjadi ketua gerakan itu.

"Bagi pihak diri saya dan UMNO Perak sekeras kerasnya menafikan tuduhan di media media sosial ini.

"Ini adalah fitnah dengan niat yang amat jahat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, UMNO Perak sedia mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan terbabit.

"Kami akan berbincang dengan peguam-peguam untuk mengambil tindakan undang undang yang sewajarnya," katanya.

Laporan portal berkenaan antara lain menyebut UMNO sedang menjalankan gerakan membeli ADUN dan bekas Exco PH dengan tawaran wang sehingga RM7.5 juta seorang dan dijanjikan jawatan Exco.

Artikel Berkaitan:

Usaha itu didakwa dilakukan bagi memastikan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dilantik sebagai Menteri Besar.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima peletakan jawatan ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Sejajar dengan itu, UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersetuju membentuk kerajaan negeri melalui gabungan Perikatan Nasional telah mempersembahkan nama mewakili parti masing-masing untuk pertimbangan Sultan Nazrin memperkenankan lantikan Menteri Besar Perak yang baharu.