RMK13 jadi pemacu tangani cabaran ekonomi negara - Anwar

Anwar mempengerusikan mesyuarat RMK13 di Putrajaya. Foto IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri
Anwar mempengerusikan mesyuarat RMK13 di Putrajaya. Foto IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri
A
A
A

SHAH ALAM - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal menjadi titik tolak kepada usaha negara menangani pelbagai cabaran ekonomi termasuk jurang pembangunan dan pendapatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dokumen dasar utama itu akan dibentangkan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

“Petang tadi saya mengetuai perbincangan bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan mengenai penyediaan RMK13 yang akan dibentangkan Kerajaan Madani tidak lama lagi.

“RMK13 adalah antara dokumen dasar utama kerajaan untuk melaksanakan agenda Ekonomi Madani.

“Penyediaan dokumen yang bermula sejak pertengahan tahun lalu adalah hasil usaha berpasukan dan maklum balas menyeluruh mengenai cadangan strategi serta inisiatif yang telah dirangka daripada semua pihak berkepentingan termasuk kementerian-kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat madani (CSO) termasuk juga orang awam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Pada Khamis, Anwar berkata, kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan kepada bidang kritikal yang berupaya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pembangunan negara secara menyeluruh.

Beliau berkata, antara bidang yang perlu diberikan tumpuan menerusi projek di bawah RMK13 termasuklah yang berkaitan industri elektrik dan elektronik.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan supaya RMK13 menjadi pemacu utama dalam menyelesaikan isu jurang pembangunan, kekangan kewangan negara dan kelembapan perubahan struktur ekonomi.

Tambah beliau, negara perlu lebih berdaya tahan dalam mendepani risiko dan ketidaktentuan ekonomi global di samping mempercepat peralihan struktur serta merapatkan jurang pembangunan sosioekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Saya tekankan supaya dokumen ini menjadi titik tolak kepada usaha menangani cabaran ekonomi negara termasuklah kesenjangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan,” ujarnya.


 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!