X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Ada cubaan ambil alih kerajaan guna cara 'tebuk atap', kata Hadi

Abdul Hadi - Foto internet
A
A

“KABINET PERPADUAN UMAT”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

“Katakanlah Ya ALLAH Ya Tuhanku yang memiliki kerajaan, Engkau memberi kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabut kerajaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang engkau kehendaki. Di dalam tangan kekuasaanMu sahaja wahai Tuhanku segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.” [Al-Imran: 26]

Kepada seluruh ahli-ahli Pas khasnya dan saudara-saudari yang dikasihi, terlebih dahulu marilah kita bersyukur kepada ALLAH Taala yang telah mengurniakan kepada kita peluang mengambil alih kerajaan yang ditinggalkan melalui pintu hadapan bukan pintu belakang kerana kerajaan (yang) telah dijatuhkan mestilah diambil alih dengan sebab-sebab yang berlaku dalam kerajaan itu sendiri.

Penghargaan dan sanjungan juga diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri yang telah berjasa memainkan peranan menyelamatkan negara dalam masa beliau memimpin negara dalam keadaan yang sangat mencabar dengan keputusan Pilihan Raya Ke-14 yang tidak diramalkan secara yang tidak diduga dengan satu gabungan yang sangat rapuh dan beliau adalah tokoh yang telah berjaya menukar kerajaan itu.

Tidak boleh dinafikan kerana sebelumnya tokoh-tokoh yang lain cuba dikemukakan (tetapi) gagal. Bila nama beliau dicalon sebagai Perdana Menteri, maka berlaku satu perubahan.

Di samping isu-isu lain yang mempengaruhi rakyat termasuk dengan cara tidak bersih dalam demokrasi yang diamalkan melalui media sosial, fitnah dan sebagainya, maka berlakulah perubahan begitu rupa.

Dalam masa yang sama, Pas menghadapi cabaran oleh kalangan lawan untuk memecahkan Pas dari dalam. Mereka gagal.

Apa yang berlaku ialah mereka berjaya mengambil serpihan (iaitu) kalangan mereka yang jadikan Pas sebagai rumah tumpangan atau pun kuda tunggangan kerana tujuan-tujuan untuk mencapai cita-cita peribadi dan Pas tidak terjejas, (sebaliknya) menjadi semakin kuat, makin matang, makin kukuh dan mendapat sokongan yang lebih kuat.

Ada pun perubahan melalui proses demokrasi, kuasa rakyat. Itu konsep demokrasi. Sama ada melalui pilihan raya umum atau pun melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Apabila berlakunya kerja memecahkan diri sendiri oleh Pakatan Harapan, bukan kami yang buat (iaitu) terdapat usaha menggulingkan Perdana Menteri, menekan dengan cara yang dilihat oleh umum (seperti) desakan dan sebagainya.

Ini adalah untuk mengambil alih pemerintahan melalui atap, bukan oleh pintu belakang. Tebuk atap.

Maka Pas mengambil langkah untuk mengambil alih kerajaan untuk menyelamatkan kerajaan (dan) negara dengan proses demokrasi (dengan) mengambil Sunnah Nabi SAW iaitulah menyatukan umat Islam dan menyatukan masyarakat majmuk.

Umat Islam melalui usaha perpaduan orang-orang Melayu Islam yang mendominasi rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan. Dalam masa yang sama tidak boleh dinafikan masyarakat majmuk.

Bagi menyatukan umat Islam, Pas dan UMNO membuat satu gabungan dinamakan Muafakat Nasional untuk menyatukan orang-orang Melayu Islam dan orang Islam yang lain, seterusnya kalangan ilmuwan dan termasuk Tun Mahathir sendiri menganjurkan Kongres Maruah Melayu dan Pas menyertai persidangan itu. UMNO juga menyertai persidangan itu.

Dan kita telah berjaya membuat satu gabungan wakil-wakil rakyat kalangan orang Melayu Islam dan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Diterjemahkan betapa tidak perkaumannya kita ini melalui Pilihan Raya Tanjung Piai, kawasan majoriti orang Melayu Islam.

Pas dan UMNO berganding bahu menyokong calon MCA yang bukan Islam untuk melawan calon Melayu Islam daripada Bersatu yang masih dalam Pakatan Harapan. Dengan usaha yang gigih kita telah berjaya memenangkan calon MCA.

Maka berlakulah satu gambaran yang awal betapa kita perlu memecahkan masyarakat majmuk yang ada unsur-unsur negatif (seperti) unsur cauvinis, perkauman yang mesti ditolak.

Seterusnya kita juga mengajak Sabah dan Sarawak yang tidak terlibat dengan krisis sebenarnya tetapi mereka terpalit dengan krisis yang berlaku. Diajak sama untuk berpadu, bergabung dalam membuat perubahan ini.

Maka berlakulah satu proses demokrasi melalui konsep Raja Berperlembagaan. Walaupun Tuanku tidak terlibat dalam politik tetapi ada peranan dalam Perlembagaan melalui tandatangan ahli-ahli Parlimen yang menyokong Tun Mahathir untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan mendapat majoriti yang boleh mengubahkan kerajaan.

Abdul Hadi bersiaran secara langsung di laman sosial Facebooknya malam tadi.
Abdul Hadi bersiaran secara langsung di laman sosial Facebooknya malam tadi.

Apabila mereka menyedari usaha ini, kalangan yang mempertahankan Pakatan Harapan yang rapuh itu telah mengubah strategi untuk menyokong Tun Mahathir.

Kononnya untuk menyokong Tun Mahathir, kemudian mereka pusing balik, buat pusingan U untuk tidak menyokong Tun Mahathir, memilih calon yang mereka pilih.

Dengan sebab itu kami membuat keputusan untuk memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi menghalang pusingan U yang dibuat dua kali - sekali sokong Tun Mahathir, sekali tak sokong Tun Mahathir. Ini satu penipuan yang nyata.

Alhamdulillah akhirnya kita berjaya dengan cara demokrasi bukan cara pintu belakang. Mengikut Perlembagaan yang sah berlakulah satu perubahan yang sangat menarik yang tidak mengorbankan rakyat dan tidak menyusahkan rakyat.

Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya membentuk Kabinet Perpaduan Umat yang terdiri daripada parti-parti politik yang terlibat dalam perubahan ini.

Bukan sahaja jumlah wakil rakyat yang dipilih rakyat termasuklah jumlah parti-parti politik yang berbagai. Bukan dua parti, tiga parti sahaja, (sebaliknya) yang berbagai.

Ini satu perubahan yang perlu dilihat secara demokratik dan Pas menghantarkan nama-nama untuk menjadi menteri, timbalan menteri (untuk) terlibat di dalan kabinet berkonsepkan parti memerintah kerajaan.

Kita menghantar wakil-wakil, menteri-menteri, timbalan menteri yang melaksanakan peranan eksekutif untuk mengurus dan mentadbir, untuk membuktikan kemampuan Pas dalam mentadbir dan mengurus dalam keadaan parti perlu memantau.

Dengan sebab itu, saya sebagai Presiden parti tidak dilantik menjadi Menteri Kabinet untuk lebih berkesan parti memantau kerajaan, menteri-menteri kabinet, timbalan menteri kita yang duduk dalam kerajaan.

Ini perlu difaham oleh ahli-ahli Pas khususnya dan oleh mereka yang nak mempelajari konsep politik Islam yang kita perkenalkan.

Mudah-mudahan menjadi satu model yang sangat baik dan kita mengharapkan kepimpinan dan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berjaya dan kita mendukung dengan sepenuhnya sementara waktu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Kita mengharapkan kepada rakyat (untuk) memberikan sokongan yang padu dan sama-sama kita berdoa untuk kejayaan kerajaan yang kita bentuk ini.

Sekian, terima kasih.

*Abdul Hadi ialah Presiden Pas dan juga Ahli Parlimen Marang


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!