10,000 pekerja dilatih kemahiran kecemasan, selamatkan nyawa - Kesuma

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melancarkan inisiatif melatih 10,000 tenaga kerja dengan kemahiran asas pertolongan kecemasan melindungi kebajikan dan keselamatan pekerja.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, semasa lawatan rasmi ke ibu pejabat IFRC di Geneva.

Kesuma dalam satu kenyataan berkata, latihan tersebut akan dilaksanakan melalui HRD Corp dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan tumpuan kepada sektor berisiko tinggi seperti pembuatan dan industri utama.

Menurutnya, kursus pertolongan cemas di tempat kerja itu bukan sekadar latihan teknikal, tetapi satu usaha untuk memperkasa pekerja dan memupuk budaya keselamatan nasional.

"Antara objektif utama inisiatif ini termasuk mengurangkan kadar kematian dan kecacatan akibat kemalangan menerusi tindak balas awal yang berkesan.

"Selain itu, ia dapat memupuk budaya keselamatan dalam kalangan majikan dan pekerja, serta menyokong pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

"Usaha ini dimeterai melalui kerjasama strategik antara Kesuma, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pekerja dalam menghadapi kecemasan di tempat kerja dan dalam komuniti," ujarnya.

Sementara itu, Steven Sim yang juga penaung PBSMM Pulau Pinang memberitahu, kerjasama ini bukan sekadar latihan namun usaha memperkasa rakyat Malaysia untuk menyelamatkan nyawa.

"Kita mahu sampaikan mesej jelas, keselamatan di tempat kerja bukan pilihan, ia satu keutamaan.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian untuk membina tenaga kerja yang lebih selamat, bersedia dan berdaya tahan menghadapi sebarang cabaran,"ujarnya.

Pengumuman ini turut disaksikan oleh Pengerusi PBSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah; Presiden IFRC, Kate Forbes dan Setiausaha Agung IFRC Jagan Chapagain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!