KPN umum agihan dividen KPDRM tertinggi sejak 97 tahun

KUALA LUMPUR - Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 5.8 peratus atas modal yuran dan 9.2 peratus atas modal syer saham dengan jumlah agihan sebanyak RM36.14 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengagihan berkenaan menunjukkan peningkatan 0.3 peratus bagi modal yuran dan 2.2 peratus bagi modal syer berbanding tahun 2023.
Kata Yang Dipertua KPDRM itu, ia sekali gus menjadi dividen paling lumayan atau tertinggi yang pernah diagihkan kepada anggota KPDRM sepanjang 97 tahun usia koperasi tersebut.
"KPDRM mencatatkan keuntungan berjumlah RM50.14 juta bagi tahun 2024 berbanding RM45.02 juta pada tahun 2023.
"Ini dipengaruhi peningkatan jumlah keanggotaan berdaftar KPDRM daripada 114,608 orang pada tahun 2023 kepada seramai 119,922 orang pada tahun 2024, melibatkan pertambahan seramai 5,314 orang,” katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-90 KPDRM di sini pada Jumaat.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Tambah Razarudin, pemilikan modal yuran turut meningkat kepada RM586.6 juta pada tahun 2024 berbanding RM558 juta pada tahun 2023, peningkatan 4.9 peratus bersamaan RM28.6 juta.
Katanya, pemilikan modal syer turut meningkat kepada 11 peratus bersamaan RM2.9 juta daripada RM20.5 juta pada tahun 2023, kepada RM23.04 juta pada tahun 2024.
Pada program sama, Anwar turut menyampaikan wang pampasan caruman insurans kepada sembilan waris anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas jalan raya di Teluk Intan, Perak, Mei lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
