Majlis Tindakan Ekonomi dibentuk selesai isu ekonomi negara

Muhyiddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di sini hari ini.
Muhyiddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Tindakan Ekonomi akan dibentuk bagi mencari jalan penyelesaian terhadap situasi ekonomi negara yang meruncing berikutan harga minyak dunia merudum.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama jemaah menteri Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Menurutnya, beliau akan mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi itu bersama-sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Mesyuarat pertama majlis akan diadakan setiap minggu bermula Isnin ini sebelum keputusannya dibentangkan kepada Kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa pakar termasuk Gabenor Bank Negara akan dipilih untuk menyertai majlis itu bagi membantu kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan.

"Mereka akan dihubungi dalam masa terdekat," katanya.

Muhyiddin berkata, harga minyak yang jatuh ke paras AS$30 (RM127) setong memberi kesan tambahan kepada dana kerajaan.

"Semua ahli jemaah Kabinet sedar bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan situasi tidak baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, masalah tersebut turut dibebani dengan penukaran wabak Covid-19 yang telah berlarutan sehingga kini.

"Ini telah memberi impak besar kepada negara," katanya.