Malaysia sokong penuh resolusi PBB desak gencatan senjata serta-merta di Gaza

SHAH ALAM - Malaysia mengalu-alukan sokongan jelas dan padu masyarakat antarabangsa terhadap Palestin apabila Resolusi Sesi Tergempar Ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan pada Khamis.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia yang konsisten dalam memperjuangkan Palestin turut mengundi dan menyokong resolusi tersebut bersama 149 negara anggota PBB yang lain.
Menurut kenyataan terbabit, keputusan itu mencerminkan sokongan moral dan politik masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat bagi merealisasikan keamanan serta kestabilan di Asia Barat.
"Justeru, Malaysia menggesa Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta, berkekalan dan tanpa syarat.
"Selain itu, menghentikan serangan ke atas orang awam dan memastikan bantuan kemanusiaan yang mencukupi disalurkan dengan segera tanpa sekatan.
"Malaysia kekal teguh bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk teruskan segala usaha bagi merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," ujarnya pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan, PBB pada Khamis meluluskan resolusi gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan dalam perang di Gaza, Palestin.
Resolusi berkenaan turut menuntut akses bantuan kemanusiaan yang tidak dihalang.
Resolusi tersebut menerima sokongan besar dengan 149 negara menyokong, 19 berkecuali, manakala 11 negara termasuk Amerika Syarikat dan Israel menentang.
Teks resolusi juga menggesa supaya semua tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza dibebaskan, tahanan Palestin yang dipenjarakan oleh Israel dikembalikan dan tentera rejim Zionis berundur sepenuhnya dari wilayah berkenaan.
Ia turut mengecam keras penggunaan kebuluran sebagai senjata perang dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan yang dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Resolusi itu turut menolak tindakan menafikan akses kepada barangan penting bagi kelangsungan hidup orang awam serta secara sengaja menyekat bekalan bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

