Karangkraf baharu cerminan semangat segar, strategi lebih moden

Firdaus Hussamuddin.
Firdaus Hussamuddin.
A
A
A

HAMPIR separuh abad dikenali dengan nama Kumpulan Karangkraf, sebuah syarikat penerbitan, percetakan, dan media terkemuka negara, kini tampil dengan identiti baharu, iaitu Karangkraf.

Langkah penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi mencerminkan semangat baharu, strategi yang lebih segar dan arah tuju yang lebih dinamik dalam mendepani cabaran industri media dan penerbitan masa kini.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian, NORAFIDAH ASSAN bersama Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin yang berkongsi inspirasi di sebalik penjenamaan semula ini.

SINAR HARIAN: Apakah justifikasi strategik di sebalik keputusan untuk melaksanakan penjenamaan semula Karangkraf pada ketika ini?

FIRDAUS: Karangkraf kini sudah 47 tahun dan tidak lama lagi 50 tahun. Ini bermakna hampir separuh abad, maka kita perlukan pembaharuan dari segi logo termasuk pembaca baharu. Jadi, kami dalam proses meremajakan Karangkraf itu sendiri.

Selain itu, penjenamaan semula ini adalah langkah strategik untuk menyelaraskan identiti korporat kami dengan realiti semasa industri dan aspirasi masa depan.

Dalam era digital yang pantas berubah, kami perlu kekal relevan, tangkas, dan berdaya saing. Ia juga mencerminkan evolusi Karangkraf daripada sebuah syarikat penerbitan tradisional kepada sebuah ekosistem kandungan dan impak sosial yang lebih menyeluruh.

Mengapa hanya nama Karangkraf dikekalkan dalam penjenamaan baharu ini, dan bukan Kumpulan Karangkraf?

Artikel Berkaitan:

Nama Karangkraf mempunyai nilai sentimental dan kekuatan jenama yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia ringkas, mudah diingati, dan membawa warisan 47 tahun kami.

Dengan mengekalkan nama ini sahaja, kami ingin menampilkan imej yang lebih segar, moden dan inklusif, tanpa mengorbankan identiti asal kami. Dalam masa yang sama, ia lebih mudah, relevan, dan orang akan sentiasa ingat sebab menggunakan hanya satu perkataan, sesuai dengan zaman serba moden kini.

Boleh puan kongsikan nilai teras dan mesej utama yang ingin disampaikan melalui logo serta identiti visual baharu Karangkraf?

Melihat dari segi identiti visual baharu Karangkraf, ia lebih moden, segar, bersemangat dan lebih dinamik. Bermakna kami berubah mengikut peredaran zaman sebab kami ingin menarik perhatian pasaran yang lebih muda. Jadi, kami mesti berubah mengikut apa yang digemari oleh golongan berkenaan.

Logo baharu kami ini juga menekankan nilai-nilai teras seperti integriti, inovasi, keterangkuman dan keberanian. Reka bentuknya moden dan dinamik, mencerminkan semangat kami untuk terus maju ke hadapan. Warna dan tipografi pula dipilih untuk menggambarkan keterbukaan, profesionalisme dan komitmen terhadap perubahan positif.

Fokus Karangkraf adalah untuk mendekati golongan muda dengan menghasilkan lebih banyak produk, terutamanya untuk kanak-kanak.
Fokus Karangkraf adalah untuk mendekati golongan muda dengan menghasilkan lebih banyak produk, terutamanya untuk kanak-kanak.

Apakah transformasi utama yang boleh dijangkakan dari segi hala tuju korporat, penawaran produk serta peranan sosial syarikat?

Kami akan hasilkan produk-produk yang menepati cita rasa pembaca terkini, bukan yang syok sendiri, dengan memperluas penawaran digital, memperkukuh kandungan berimpak tinggi, dan memperluas kerjasama strategik. Dari segi sosial, kami akan terus menjadi suara rakyat melalui inisiatif seperti Rasuah Busters dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF). Hala tuju kami kini lebih berfokus kepada impak, bukan sekadar penerbitan.

Sepanjang proses penjenamaan semula ini, apakah cabaran paling signifikan yang dihadapi oleh pihak pengurusan?

Cabaran utama ialah memastikan semua pihak berkepentingan memahami dan menyokong perubahan ini, termasuk pembaca dan pengikut baharu kami. Ia melibatkan komunikasi dalaman yang berkesan, pengurusan perubahan budaya kerja, serta penyesuaian operasi agar selari dengan identiti baharu. Namun, semangat warga Karangkraf sangat membantu menjayakan proses ini.

Bagaimanakah penjenamaan baharu ini dirangka untuk memastikan Karangkraf kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap media dan penerbitan yang kian mencabar?

Kami perlu kekal relevan melalui kecekapan dan kreativiti. Kami ini bukan sprinter yang lari laju tetapi cepat jatuh, sebaliknya seperti pelari maraton yang konsisten dan fokus pada pertumbuhan jangka panjang.

Maka, kami menekankan pendekatan digital-first dalam memperkukuh kehadiran dalam platform media sosial, serta memanfaatkan teknologi untuk penyampaian kandungan yang lebih interaktif dan bersasar. Penjenamaan ini juga membuka ruang untuk kolaborasi rentas industri dan inovasi dalam penyampaian mesej.

Dari perspektif puan, apakah impak paling besar yang telah dicapai oleh Karangkraf dalam menyumbang kepada masyarakat dan industri sepanjang 47 tahun penubuhannya?

Karangkraf telah menjadi suara rakyat, pemangkin perubahan sosial, dan pelopor dalam penerbitan Islamik serta kandungan beretika melalui buku-buku yang kami terbitkan.

Kami bukan sekadar menerbitkan bahan bacaan, tetapi membina kesedaran, menyemai nilai, dan memperjuangkan kebenaran. Itulah legasi yang paling kami banggakan. Kami sampaikan berita yang tulus dan telus sebab itu ia boleh menyentuh hati dan perasaan rakyat Malaysia.

Apakah maklum balas awal yang diterima daripada warga kerja Karangkraf serta rakan strategik terhadap identiti baharu ini?

Sebenarnya kami belum membuat hebahan sepenuhnya mengenainya, bagaimanapun ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini ada yang perasan logo baharu kami. Mereka maklumkan logo kami lebih segar, berdaya saing malah ikut trend semasa. Kami akui, maklum balas yang diterima sangat positif.

Warga kerja berasa lebih bersemangat dan bangga dengan wajah baharu ini. Rakan strategik pula melihatnya sebagai satu langkah progresif yang menunjukkan kesediaan Karangkraf untuk terus menjadi peneraju dalam industri kandungan dan impak sosial.

Bagaimana puan melihat penjenamaan baharu ini mencerminkan aspirasi dan visi jangka panjang Karangkraf?

Bagi saya, cabaran utama adalah untuk terus bertahan. Oleh itu, kita perlu memastikan segala yang dilakukan adalah efisien, terutamanya dari segi pengurusan kewangan dan emosi.

Dengan langkah penjenamaan semula ini, ia menunjukkan bahawa kami bersedia dari semua aspek untuk terus kekal relevan pada masa hadapan.

Penjenamaan ini mencerminkan visi kami untuk menjadi sebuah organisasi kandungan dan impak sosial yang berpengaruh di peringkat nasional dan global. Ia melambangkan aspirasi kami untuk terus berkembang, memberi nilai dan menjadi pemangkin perubahan dalam masyarakat.

Dalam era digital dan generasi baharu yang serba pantas, bagaimana Karangkraf merancang untuk mengekalkan pengaruh dan daya tarikan terhadap khalayak muda?

Penjenamaan semula kali ini bertujuan untuk menarik minat pasaran muda. Jika sebelum ini audien kami terdiri daripada generasi terdahulu, mungkin ibu bapa atau nenek kami, sekarang kami perlu bergerak seiring dengan perubahan generasi.

Kini, fokus kami adalah untuk mendekati golongan muda dengan menghasilkan lebih banyak produk, terutamanya untuk kanak-kanak.

Bahagian buku kanak-kanak akan menjadi asas untuk membina hubungan jangka panjang dari kanak-kanak, remaja hingga dewasa.

Kami akan terus menghasilkan kandungan yang relevan, autentik dan mudah diakses oleh generasi muda. Pendekatan kami lebih bersifat dua hala, melibatkan komuniti dan memanfaatkan platform digital serta teknologi baharu untuk menyampaikan mesej dengan cara yang lebih menarik dan bermakna.

Adakah penjenamaan semula ini turut memperkukuh komitmen Karangkraf terhadap inisiatif sosial seperti Rasuah Busters, WUIF dan lain-lain?

Penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan visual, tetapi juga usaha untuk mengukuhkan nilai dan mesej yang kami bawa melalui inisiatif CSR (tanggung jawab sosial korporat) kami. Sama ada melalui Rasuah Busters atau WUIF yang memberi fokus kepada pembelajaran al-Quran, setiap program ini mencerminkan komitmen kami.

Logo baharu mungkin tidak menjamin perubahan serta-merta, tetapi ia memberi peluang kepada pengikut baharu, contohnya jika dahulu pembelajaran al-Quran hanya tertumpu pada segmen tertentu, kini kami mahu mendekati kanak-kanak sejak awal lagi melalui produk bacaan seperti buku kanak-kanak dan bahan pendidikan yang sesuai dengan usia mereka.

Kami percaya bahawa perniagaan yang berjaya ialah perniagaan yang memberi kembali kepada masyarakat dan memperjuangkan nilai-nilai murni.

Apakah harapan puan terhadap penerimaan masyarakat terhadap wajah baharu Karangkraf dan apakah mesej utama kepada seluruh warga Karangkraf dalam menghadapi fasa transformasi ini?

Untuk terus bertahan dan kekal relevan selepas hampir lima dekad, sesebuah syarikat memerlukan kekuatan dan kesabaran. Perubahan perlu dilakukan agar seiring dengan kehendak semasa, jika tidak, kita akan ketinggalan.

Fokus kita bukan lagi hanya kepada pembaca lama, tetapi juga kepada generasi muda, terutama kanak-kanak, agar mereka turut bersama dalam perjalanan ini.

Saya berharap masyarakat akan menerima wajah baharu Karangkraf dengan hati terbuka dan terus menyokong perjuangan kami.

Kepada warga Karangkraf, saya ingin ucapkan terima kasih atas dedikasi dan semangat yang luar biasa. Bersama-sama, kita akan terus mencipta impak dan membina masa depan yang lebih gemilang untuk 50 tahun lagi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!