100,000 dijangka serbu Karnival Siang Malam

SHAH ALAM - Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai ini di ibu pejabatnya di Seksyen 15, Shah Alam, dijangka mampu menarik lebih 100,000 pengunjung.
Acara komuniti berskala besar itu menampilkan pelbagai pengisian meriah merangkumi elemen kebudayaan, hiburan keluarga, persembahan pelajar serta ruang keusahawanan tempatan.
Karnival ini bukan sekadar tempat bersantai, tetapi wadah menyatukan masyarakat berbilang kaum melalui pengalaman bersama.
Karangkraf dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran karnival menjadi simbol semangat perpaduan rakyat Malaysia yang diraikan dalam suasana santai, inklusif dan penuh nilai kekeluargaan.
“Acara ini mengetengahkan sesuatu untuk semua dari rumah hantu, maze gergasi, litar go-kart, perarakan malam, hingga ke Pasar Saloma yang menampilkan makanan dan kraf tempatan. Ia adalah sambutan siapa kita sebenarnya,” kata kenyataan itu.
Karnival ini turut memberi peluang kepada pelajar sekolah menunjukkan bakat melalui pelbagai pertandingan seperti dikir barat, tarian, kawad kaki, choral speaking, robotik, koir, fesyen kitar semula dan Smartlympic. Beberapa program lain seperti busking, sukan jalanan 3v3, pound class dan aktiviti rewang turut memeriahkan acara.
Penganjuran ini juga membuka ruang kepada usahawan kecil dan koperasi sekolah menjalankan perniagaan secara langsung kepada pengunjung, sekali gus memacu semangat keusahawanan tempatan.
Karangkraf turut menawarkan pakej penajaan bermula serendah RM10,000 hingga RM150,000 bagi penaja utama, lengkap dengan penjenamaan lokasi serta liputan meluas melalui platform cetak dan digital Sinar Harian.
“Kami mengalu-alukan rakan korporat yang ingin menyumbang secara bermakna kepada masyarakat. Karnival ini bukan sekadar acara tetapi satu gerakan menyatukan komuniti melalui budaya, kreativiti dan semangat kekitaan,” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai yang berminat menyertai atau menaja boleh menghubungi wakil Karangkraf, Mohd Ariff di talian 012-6276411 atau e-mel (mohd.ariff@sinarharian.com.my) dan Luqman (019-3745434 atau e-mel (muhammad.luqman@sinarharian.com.my) untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!