Maze gergasi, fun fair, go-kart tarikan utama Karnival Siang Malam Karangkraf 2025

Karnival Siang Malam Karangkraf himpun keluarga dalam suasana santai. Gambar kecil: Farah
Karnival Siang Malam Karangkraf himpun keluarga dalam suasana santai. Gambar kecil: Farah
A
A
A

SHAH ALAM – Karangkraf bakal menganjurkan Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, sebuah acara komuniti berskala besar yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai di ibu pejabat Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam.

Penganjuran ini bertujuan memperkukuh jalinan masyarakat melalui gabungan elemen budaya, kreativiti, hiburan, dan keusahawanan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, karnival ini bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi satu gerakan yang menzahirkan peranan media sebagai penghubung rakyat.

“Kami percaya kekuatan komuniti bermula daripada pengalaman bersama. Karnival ini menjadi pentas untuk keluarga, pelajar, pendidik serta usahawan tempatan saling berkongsi nilai dan cerita.

“Acara ini dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan umur, menjadikannya antara acara komuniti terbesar di Lembah Klang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, antara objektif utama acara ini adalah untuk menghimpunkan keluarga dalam suasana santai dan menyeronokkan, selain menyediakan ruang buat pelajar menyerlahkan bakat melalui pelbagai persembahan dan pertandingan kreatif.

“Kami mahu sediakan peluang sebenar untuk pelajar menyerlah dan usahawan tempatan berkembang, selain mempromosikan gaya hidup sihat dan cinta terhadap budaya tempatan. Inilah nilai yang ingin kami semai menerusi penganjuran ini,” ujarnya lagi.

Antara tarikan utama karnival termasuk maze gergasi, rumah hantu, go-kart, Pasar Saloma, fun fair, rewang, night parade, persembahan dikir barat dan koir sekolah serta pelbagai pertandingan seni dan sukan yang melibatkan golongan belia dan pelajar sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurut Farah, karnival ini juga membuka peluang kerjasama kepada rakan korporat dan jenama yang mahu memberikan impak positif kepada masyarakat menerusi pakej penajaan strategik yang disediakan.

“Lebih dari sekadar hiburan, inilah peluang untuk membina jambatan antara generasi dan budaya. Kami mengalu-alukan semua pihak dari pengunjung hingga penaja untuk bersama menjayakan misi ini. Ia bukan sahaja menghidupkan semangat komuniti tetapi turut menyumbang kepada pembangunan sosial secara holistik,” tambah beliau.

Karangkraf turut memberi jaminan keselamatan dan keselesaan pengunjung akan menjadi keutamaan dengan sokongan pelbagai agensi penguat kuasa, sukarelawan dan sistem pengurusan acara yang teratur.

Penganjuran ini tidak hanya membawa impak jangka pendek kepada ekonomi setempat melalui peluang perniagaan, tetapi turut diharap dapat mencetuskan semangat baharu dalam memupuk nilai perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!