Ini peluang Kelantan membangun lebih pesat

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan melantik beberapa pemimpin dari Kelantan untuk menganggotai barisan Kabinet baharu perlu dimanfaatkan bagi membantu membangunkan negeri itu dalam semua aspek.

Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, mereka perlu merapatkan saf untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

"Secara tidak langsung menunjukkan bahawa negeri Kelantan sekarang sudah berada bersama dengan Kerajaan Pusat. Negeri ini bukan lagi jadi negeri pembangkang tetapi dah jadi negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

"Sudah sampai masa, pembangunan infrastruktur perlu dipertingkatkan terutama pembinaan lebuh raya, pembesaran lapangan terbang, begitu juga pembangunan lain yang perlu disegerakan. Ia bagi menarik pelabur asing untuk melabur," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pelantikan menteri Kabinet berjaya dibuat dengan baik apabila barisan itu dianggotai tokoh-tokoh politik yang berpengalaman, teknokrat dan individu yang pakar dalam bidang masing-masing selain mempunyai integriti yang tinggi.

"Kabinet ini diharapkan membawa aspirasi rakyat Malaysia terutama dalam menghadapi ekonomi yang mencabar masa kini," katanya.

Semalam, pengumuman senarai jemaah menteri kerajaan gabungan baharu kali ini melakar sejarah tersendiri termasuk bagi negeri Kelantan apabila lima menteri dan lima timbalan menteri telah dilantik dari negeri tersebut.

Artikel Berkaitan: