Selangor FC sahut cabaran pasukan legenda Asia

Dari kiri: Baihakki, Kinoshi, Johan, Honda, Del Rosario, Indra Putra dan Razman selepas sidang media pada Selasa. FOTO: SELANGOR FC
Dari kiri: Baihakki, Kinoshi, Johan, Honda, Del Rosario, Indra Putra dan Razman selepas sidang media pada Selasa. FOTO: SELANGOR FC
A
A
A

CABARAN legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda disifatkan faktor utama Selangor FC bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan menentang Asia Warriors FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 26 Julai depan.

Pengendali The Red Giants, Katsuhito Kinoshi berkata, Honda bekas tonggak kelab Serie A Itali, AC Milan dari 2014 hingga 2017 itu menghubunginya untuk mengadakan perlawanan berkenaan.

Jelas pengendali dari Jepun itu, beliau kemudian berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengenai perkara berkenaan sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran Honda.

“Satu penghormatan besar apabila Selangor dipilih untuk berdepan pasukan yang bakal dibarisi pemain legenda di rantau Asia dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Honda hubungi saya, (dia katakan) 'saya mahu berlawanan dengan kamu'. Dia mencipta satu pasukan legenda dan mahu menentang salah satu pasukan terbaik di Malaysia.

“Jadi saya amat menghargai apabila Selangor dipilih untuk mewakili Malaysia. Saya kongsikan kepada Johan dan memutuskan untuk menerima tawaran bagi perlawanan itu,” katanya sambil menyifatkan aksi itu pentas pemanas badan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26, Ogos depan.

Sementara itu, Honda yang juga pengasas Asia Warriors FC berkata, keputusan memilih naib juara Liga Super berkenaan sebagai lawan kerana mahu mendapatkan cabaran dan membentuk perlawanan yang menarik buat penonton.

“Saya berterima kasih kepada Selangor FC kerana menerima tawaran daripada Asia Warriors untuk mengadakan perlawanan pertunjukan ini.

“Ya, kami amat teruja untuk berdepan Selangor FC antara pasukan kuat di Malaysia. Walaupun ia hanya aksi pertunjukan, tapi kami akan memberikan perlawanan yang terbaik buat penonton,” kata Honda.

Artikel Berkaitan:

Asia Warriors, selain diperkuatkan Honda, juga dibarisi beberapa bekas pemain negara lain seperti Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan (Malaysia), Anton Del Rosario (Filipina) dan Baihakki Khaizan (Singapura).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!