Tiada masalah KFA sertai Liga A1, bola sepak akan lebih meriah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan beraksi dalam Liga A1 musim hadapan dan menerima penajaan secukupnya untuk membiayai kos sepanjang penglibatan pasukan dalam liga tersebut.

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyertaan Kedah dalam liga berstatus separa profesional itu tidak menimbulkan sebarang masalah biarpun sebuah lagi pasukan negeri, Kedah Darul Aman (KDA) FC turut beraksi setelah tersingkir daripada Liga Super.

Menurutnya, penyertaan lebih banyak pasukan tidak perlu dibimbangkan selagi pasukan yang terlibat mempunyai kemampuan dalam pelbagai aspek termasuk kewangan dan komitmen pemain.

“KDA FC baru dikatakan nak masuk Liga A1, biar sahih dahulu barulah boleh komen. Yang saya tahu, KFA akan sertai A1 tetapi KDA FC saya tak tahu, sebab itu kelab,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis ramah mesra Aidiladha Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini pada Selasa.

Menteri Besar Kedah itu berkata, terdapat beberapa negeri turut menghantar lebih daripada satu pasukan dan ia tidak menimbulkan masalah.

“Di dunia ini macam-macam tempat ada dua, tiga pasukan, tak ada masalah. Negeri selatan itu pun banyak pasukan yang masuk macam-macam liga, tak ada isu. Kenapa nak pening bila sebut Kedah atau saja-saja buat pening, pergilah pening tempat lain,” katanya berseloroh.

Muhammad Sanusi berkata, dengan adanya penyertaan lebih banyak pasukan dalam liga-liga yang dianjurkan di Malaysia, bola sepak Kedah secara tidak langsung akan menjadi lebih meriah.

“Kalau banyak pasukan, penyokong akan lebih ramai, orang lebih ramai pergi stadium dan bola sepak akan bersemarak semula sebab pasukan banyak untuk disokong.

“Isunya kalau tak ada penaja, bila ada pasukan, adalah orang yang akan taja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pembiayaan untuk pasukan beraksi dalam Liga A1 adalah lebih rendah dan KFA boleh menghantar pasukan untuk turut berlawan.

Sebelum ini, desas-desus tercetus apabila dikatakan penyokong Hijau Kuning berada dalam dilema sama ada mahu menyokong KFA atau KDA FC sekiranya kedua-duanya bertembung dalam Liga A1 jika KDA FC melepasi syarat yang ditetapkan.

Namun, peminat bola sepak masih berpeluang untuk menonton aksi Liga Super apabila pasukan Imigresen FC yang dinaikkan status ke liga utama itu mahu menjadikan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang mereka.

KDA FC sebelum ini berdepan kemelut kewangan yang meruncing sejak dua musim lalu dan dilihat masih terumbang-ambing untuk kekal beraksi disebabkan isu penajaan.

Keadaan ini turut menyebabkan empat tonggak utama pasukan Sang Kenari itu telah sah menyertai Penang FC musim depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!